BEIJING, CHINA – Seorang lelaki memohon kebenaran untuk bercerai daripada mahkamah di Wilayah Yunnan, China sejam selepas sah melangsungkan perkahwinan dan sah bergelar suami isteri.
Memetik akhbar Global Times baru-baru ini, lelaki tersebut yang merupakan seorang pelajar kolej memohon bercerai dengan isterinya yang merupakan seorang jururawat kerana alasan sering menerima tekanan dan enggan mengahwini wanita itu pada mulanya.
Susulan daripada permohonan perceraian itu, bekas isteri kepada lelaki itu meminta wang pampasan berjumlah 300,000 yuan (RM192,898) dengan mendakwa bahawa bekas suaminya itu berlaku curang terhadapnya.
Menurut laporan akhbar itu, si suami yang merupakan seorang pelajar kolej adalah yang pertama memohon kebenaran untuk bercerai sejurus selepas mereka berkahwin dengan memberi alasan bahawa dia enggan mengahwini wanita berkenaan pada mulanya.
Tambah lelaki tersebut, dia juga telah memutuskan hubungan dengan wanita berkenaan sebelum perkahwinan mereka berlangsung.
Wanita itu bagaimanapun sering menghantar pesanan teks kepadanya yang mengugut dan akan terus mengganggu lelaki itu.
Selepas perbicaraan di mahkamah, hakim mendapati kedua-dua mereka bertindak mengikut emosi dan lelaki tersebut gagal membuktikan bahawa hubungan mereka telah putus sebelum berkahwin.