SEMPORNA: Seramai 12 individu yang berpakaian menyerupai wanita ditahan dalam satu operasi bersepadu Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Negeri Sabah (JHEAINS) bersama polis yang dikaitkan dengan pertandingan ‘Ratu Pondan’ di Kampung Hidayat 2, Pulau Bum-Bum, Semporna.
JHEAINS menerusi kenyataan di Facebook hari ini memaklumkan, operasi berkenaan dilaksanakan dengan kerjasama Balai Polis Pulau Bum-Bum bagi menjalankan penguatkuasaan undang-undang berkaitan.
Menurut jabatan itu, operasi diketuai Pegawai JHEAINS, Mohd Juseph Ahmad Kapala, bersama lima pegawai JHEAINS dan 11 anggota polis dari Balai Polis Pulau Bum-Bum.
“Dalam operasi tersebut, seramai 12 individu yang berpakaian menyerupai wanita telah ditangkap.
“Turut dirampas beberapa barangan berkaitan pertandingan, antaranya piala, sijil, hamper dan beberapa barangan lain,” menurut kenyataan itu.
JHEAINS menjelaskan, operasi bersepadu berkenaan merupakan sebahagian daripada kerjasama antara jabatan itu dengan pihak polis dalam melaksanakan penguatkuasaan undang-undang yang berkaitan.






