KOTA KINABALU: Bekas pembantu politik kepada Perdana Menteri, Datuk Farhash Wafa Salvador, menafikan sekeras-kerasnya dakwaan bahawa syarikat miliknya telah diberikan lesen meneroka lombong arang batu seluas 70,000 hektar di Sabah seperti yang dilaporkan oleh portal MalaysiaNow baru-baru ini.
Menurut kenyataan rasmi yang dikeluarkan pihak beliau, Farhash menyifatkan laporan itu sebagai “berita palsu dan berniat jahat”, serta menuntut permohonan maaf terbuka daripada portal berkenaan dalam tempoh 48 jam.
Beliau turut memaklumkan bahawa laporan polis telah dibuat, dan tindakan undang-undang akan diambil.
“Syarikat saya tidak pernah memohon, apatah lagi menerima sebarang lesen eksplorasi atau perlombongan seperti yang didakwa. Dakwaan ini adalah fitnah dan satu cubaan memburukkan nama baik saya secara terancang,” katanya.
Dalam pada itu, Ketua Pegawai Eksekutif Sabah Mineral Management (SMM), Natasha Sim, turut tampil menafikan dakwaan tersebut dan menegaskan bahawa SMM tidak pernah meluluskan atau mengeluarkan sebarang lesen teroka kepada syarikat bernama Bumi Suria Sdn Bhd, yang dikaitkan dengan Farhash.
“Kami ingin menegaskan bahawa tiada rekod lesen eksplorasi mineral dikeluarkan kepada mana-mana entiti bernama Bumi Suria Sdn Bhd seperti yang didakwa.
“SMM mematuhi setiap prosedur kelulusan dan semua permohonan lesen perlu melalui penilaian ketat,” katanya dalam satu kenyataan.






