105 Murid, Kanak-Kanak Istimewa Dirai Majlis Lawatan Amal Ke Institusi Kebajikan

105 Murid, Kanak-Kanak Istimewa Dirai Majlis Lawatan Amal Ke Institusi Kebajikan

0
SHARE
Norlidah
Mohd Nazri (empat dari kiri) menyampaikan cenderamata berupa replika rumah tradisi Bisaya kepada Toh Puan Norlidah (tengah) sambil disaksikan Jais (lima dari kiri), Ruslan (tiga dari kiri), Juliah (dua dari kanan) dan Siti Noor Hayyat (kanan) - ( Sumber Foto: Ihsan Jabatan Penerangan Sabah )

BEAUFORT, SABAH – Seramai 105 murid dan kanak-kanak istimewa diraikan pada Majlis Lawatan Amal Ke Institusi Kebajikan sempena Majlis Lawatan Amal Ulang Tahun Keputeraan Seri Paduka Baginda Yang Di-Pertuan Agong Peringkat Negeri 2024.

Pada majlis tersebut, Isteri Yang di-Pertua Negeri, Toh Puan Norlidah R.M Jasni turut menyampaikan sumbangan tunai kepada murid dan kanak-kanak istimewa daripada Sekolah Kebangsaan Pekan Beaufort, Sekolah Menengah Kebangsaan Beaufort 1, Pertubuhan Pemulihan Dalam Komuniti (PPDK) Beaufort dan PPDK Sinar Kasih.

Sumbangan khas yang disampaikan di Dewan Mohd Dun Banir tersebut adalah daripada Pertubuhan Muafakat Titipan Amal Isteri-isteri Wakil Rakyat Sabah (MUTIARA GRS) dan Persatuan Suri dan Anggota Wanita Perkhidmatan Awam Malaysia (PUSPANITA) Cawangan Sabah, pada Khamis.

Terdahulu, Pegawai Daerah Beaufort, Mohd Nazri Ajun dalam ucapan aluannya menjelaskan program tahunan anjuran Jabatan Perkhidmatan Kebajikan Am itu bertujuan meraikan golongan orang kurang upaya serta kanak-kanak daif yang memerlukan bantuan sempena Ulang Tahun Keputeraan Seri Paduka Baginda Yang Di-Pertuan Agong Peringkat Negeri Sabah.

Jelasnya, lawatan amal pada tahun ini dimulai dengan Majlis Ziarah Kasih kepada insan-insan istimewa di Taman Didikan Asuhan Kanak-kanak Kurang Upaya (TDKKU) Beaufort dan diakhiri dengan Majlis Jamuan Kasih bersama-sama murid dan kanak-kanak khas daripada pelbagai institusi kebajikan serta pendidikan.

Majlis tersebut turut dihadiri isteri Ketua Menteri merangkap Yang di-Pertua MUTIARA GRS Datin Seri Juliah Salag, isteri Timbalan Ketua Menteri III merangkap Naib Yang di-Pertua MUTIARA GRS Datin Dayang Siti Noor Hayyat Awang Mohd Saufi dan Pengerusi PUSPANITA Cawangan Sabah, Datin Seri Panglima Datuk Dr. Nuinda Alias.

Hadir sama Pembantu Menteri Kepada Ketua Menteri merangkap Ahli Dewan Undangan Negeri Lumadan, Datuk Ruslan Muharam, Pengarah Jabatan Perkhidmatan Kebajikan Am Sabah merangkap Pengerusi Induk Majlis Lawatan Amal Ulang Tahun Keputeraan Seri Paduka Baginda Yang Di-Pertuan Agong Peringkat Negeri 2024 Jais Asri, Pegawai Daerah Beaufort Mohd Nazri Ajun dan Pengerusi PUSPANITA Cawangan Beaufort Dayang Hanim Awang Basir. — JABATAN PENERANGAN SABAH