KOTA KINABALU, SABAH – Jabatan Kesihatan Negeri Sabah (JKNS) dalam satu kenyataan hari ini menafikan dakwaan kononnya seorang remaja meninggal dunia disebabkan dos penggalak COVID-19 seperti mana yang tular di media sosial dan juga sebaran aplikasi WhatsApp.
Pengarah JKNS, Dr Rose Nani Mudin dalam kenyataan itu berkata bahawa pihaknya telah membuat siasatan segera terhadap dakwaan berkenaan bagi mengenal pasti sama ada perkara itu adalah palsu atau tidak benar yang mana ia mengaitkan Hospital Tuaran.
“Siasatan mendapati pesakit meninggal dunia pada 12 Februari lalu, punca sebenar kematian disebabkan jangkitan paru-paru dan penyakit jantung sejak lahir (congenital heart disease) yang semakin tenat, bukannya disebabkan dos penggalak vaksin COVID-19 seperti didakwa…
“Keadaan pesakit telah diterangkan kepada ahli keluarga dan mereka menerima dengan baik penerangan mengenai punca kematian. Siasatan juga mendapati pesakit menerima dos pertama vaksin pada 31 Julai 2021 dan dos kedua pada 21 Ogos 2021. Ibu pesakit dan Hospital Tuaran mengesahkan pesakit tidak pernah mengambil dos penggalak,” katanya.
Sehubungan itu, Rose Nani berkata, satu laporan polis telah dibuat oleh ibu pesakit pada 13 Februari lalu menafikan kematian anaknya disebabkan dos penggalak vaksin COVID-19 selain menafikan ahli keluarganya membuat penularan dalam aplikasi Whatsapp mengenai kes dan dakwaan itu.
Beliau juga turut menafikan bahawa ahli keluarganya yang terlibat dalam menularkan perkara berkenaan di dalam aplikasi WhatsApp mengenai kematian anaknya disebabkan dos penggalak.
“Hospital Tuaran juga membuat laporan polis untuk siasatan dan tindakan lanjut penularan berita palsu dan gambar pesakit di aplikasi terbabit oleh individu tidak bertanggungjawab. JKNS menggesa kepada semua rakyat Sabah agar tidak menyebarkan berita palsu dalam mana-mana media sosial atau aplikasi yang lain…
“Tindakan terbabit bukan sahaja mengelirukan orang ramai tetapi juga boleh mengancam privasi pesakit dan ahli keluarganya. Tindakan undang-undang boleh diambil terhadap individu berkenaan atas tindakan tidak bertanggungjawab. JKNS bersimpati derngan keluarga pesakit dan berharap perkara seperti ini tidak berlaku pada masa akan datang,” katanya.
Pada masa yang sama, JKNS turut menggesa semua rakyat di negeri ini agar tidak bertindak menularkan berita palsu dalam mana-mana media sosial atau aplikasi kerana bukan sahaja boleh mengelirukan orang ramai tetapi juga boleh mengancam privasi pesakit dan ahli keluarga.