Doktor Pakar Termasuk Dalam Senarai Nama ‘Pembuli’ – KJ

Doktor Pakar Termasuk Dalam Senarai Nama ‘Pembuli’ – KJ

0
SHARE

PUTRAJAYA – Menteri Kesihatan, Khairy Jamaluddin Abu Bakar mendedahkan lima nama doktor yang didakwa sebagai ‘pembuli’ di Hospital Pulau Pinang (HPP) juga membabitkan beberapa doktor pakar.

Jelas beliau, nama-nama tersebut telah pun diserahkan kepada kementeriannya dan siasatan akan dijalankan berhubung tuduhan itu.

“Apa yang kita lihat sekarang ialah aduan dibuat. Ada nama telah dihantar kepada saya ialah peringkat pakar…

“Bukan senang kita pindahkan jadi buat masa ini, semua bertugas seperti biasa cuma siasatan berjalan,” katanya pada sambutan Hari Jururawat Antarabangsa di sini hari ini.

Sementara itu, sisatan berhubung tuduhan itu dijalankan oleh Unit Integriti KKM dan pasukan petugas khas bebas yang akan diumumkan esok.

“Unit integriti kita iaitu siasatan tatatertib biasa dan setelah siasatan dibuat secara sepenuhnya, maka laporan akan diberi tentang tuduhan tersebut.

“Sekarang ini kita menerima banyak aduan dan tuduhan, nama doktor dan pakar yang kononnya atau yang dikatakan membuli doktor junior,” katanya.

Sehubungan itu, Khairy Jamaluddin berkata, untuk memastikan keadilan kepada semua pihak, ia mesti melalui proses telus yang akan dikemukakan kepada beliau nanti.

“Itu adalah proses dalaman biasa kita laksanakan. Selain itu seperti saya umumkan sebelum ini, satu pasukan petugas khas akan ditubuhkan dan mereka juga akan melihat aduan-aduan tersebut.

“Bukan saya mempengerusikannya (pasukan petugas khas) dan esok saya akan umumkan sebab ia melibatkan terma,” ujarnya.