TUARAN, SABAH – Ketua Menteri Datuk Seri Panglima Haji Hajiji Haji Noor menggesa semua wakil rakyat dan pemimpin untuk sentiasa peka terhadap suara rakyat agar dapat memahami aspirasi mereka dengan lebih baik.
“Saya menyeru kepada semua wakil rakyat dan pemimpin supaya tidak berhenti mengambil pendekatan turun padang untuk berjumpa dengan rakyat dan mengenal pasti masalah yang dihadapi oleh mereka dan pada masa yang sama menangani apa sahaja isu di kawasan masing-masing.
“Jangan tunggu sehingga masalah timbul, sebaliknya sentiasa dekat dengan rakyat untuk memenangi hati dan fikiran mereka,” katanya…
Berucap pada sambutan Pesta Kaamatan Daerah di Dewan Seri Sulaman di sini malam semalam, Hajiji yang merupakan Ahli Dewan Undangan Negeri Sulaman turut mengarahkan semua pegawai daerah dan penjawat awam di jabatan yang berkaitan agar sentiasa proaktif dalam menunaikan tanggungjawab yang diamanahkan.
“Mereka diamanahkan untuk menyelesaikan masalah rakyat terutamanya di kawasan luar bandar serta memaklumkan segala usaha atau tindakan kerajaan untuk rakyat…
Katanya, pemimpin masyarakat, juga mempunyai peranan penting memandangkan mereka berada dalam kedudukan yang baik untuk membawa perubahan.
“Sentiasa mendengar akar umbi dan peka dengan keperluan mereka. Dengan berbuat demikian, anda juga akan dapat menyampaikan segala rancangan pembangunan kerajaan yang bermanfaat kepada rakyat.
“Dengan cara ini, rakyat tidak akan mudah terpengaruh dengan berita palsu dan pelbagai taktik untuk menipu mereka,” katanya.
“Ini adalah aspirasi kerajaan supaya kita semua dapat kekal bersatu dan fokus dalam satu
arah dan tidak terganggu oleh gangguan yang menghalang kemajuan.
“Kerajaan GRS-BN telah menyediakan pembangunan Hala Tuju Sabah Maju Jaya iaitu pelan hala tuju untuk membangunkan negeri kita dan rakyatnya…
“Kita mahu membawa lebih banyak pembangunan termasuk menarik seberapa banyak pelaburan domestik dan antarabangsa berimpak tinggi kepada Sabah.
“Oleh itu, untuk bergerak ke hadapan, marilah kita melakukan lebih banyak lagi. Bak kata pepatah, tindakan lebih penting dari bercakap lebih kosong,” katanya.
Pada masa yang sama, Hajiji menyeru rakyat Sabah untuk berdiri sepenuhnya di belakang Kerajaan agar usaha membangunkan negeri dapat dilakukan dengan jayanya.
Terdahulu, Ketua Menteri berkata Pesta Kaamatan mesti terus menjadi platform bagi perpaduan untuk masyarakat kita yang pelbagai budaya.
Malah, katanya, perpaduan dan kerjasama dalam kalangan rakyat Sabah adalah satu perkara yang penting namun mudah diketepikan dengan begitu saja.
“Di Sabah, rakyat kita berbilang kaum, agama dan kepercayaan hidup bersama secara harmoni setelah sekian lama. Perkahwinan campur telah menghasilkan keluarga besar pelbagai etnik dan kepercayaan yang menerima dan menghormati antara satu sama lain,” katanya.
Disambut pada bulan Mei, Pesta Kaamatan kini tidak lagi hanya dirayakan masyarakat Kadazandusun Murut dan Rungus malah oleh seluruh rakyat.
“Inilah gambaran sebenar konsep Keluarga Malaysia yang ditekankan oleh Perdana
Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob,” katanya.
Hadir sama Menteri Pembangunan, Luar Bandar Datuk Jahid Jahim; Pembantu Menteri Pelancongan, Kebudayaan dan Alam Sekitar, Datuk Joniston Bangkuai; Pembantu Menteri Kewangan, Jasni Daya dan Pegawai Daerah merangkap Pengerusi Penganjur, Syahrin Samsir.