Bukan Niat Kerajaan Menidakkan Rakyat Sambut Perayaan, Tetapi Lebih Kepada Membendung Penularan...

Bukan Niat Kerajaan Menidakkan Rakyat Sambut Perayaan, Tetapi Lebih Kepada Membendung Penularan COVID-19

0
SHARE
Shahelmey memberikan kuih raya kepada salah seorang pengamal media tempatan pada sesi pengagihan kuih raya kepada pengamal media di bangunan Tun Fuad Stephens...

KOTA KINABALU, SABAH – Bukan niat kerajaan menidakkan rakyat menyambut musim perayaan bersama keluarga dengan perlaksanaan PKP tetapi ianya sebuah langkah keperluan bagi membendung penularan COVID-19 demi kebaikan semua.

Menteri Pembangunan Masyarakat dan Kesejahteraan Rakyat Ir Shahelmey Yahya berkata kerajaan pusat mahupun tempatan tidak mahu situasi pandemik menjadi tidak terkawal seperti di India.

“Sudah setahun kita mengalami pandemik dan berdasarkan kajian oleh Majlis Kesihatan Negara punca utama tercetusnya gelombang dan kluster baru adalah pergerakan dan majlis biarpun secara kecilan…

“Biarlah kita semua berkorban sekitka dan Insyallah pada tahun hadapan kita boleh kembali seperti biasa dipangkuan keluarga tersayang selepas virus ini dapat dikawal hanya dengan kerjasama kita,” dia berkata.

Dalam pada itu dia berkata pergerakan terhad menjatuhkan bekalan darah ke tahap kritikal.

Bekalan darah di Sabah semakin kekurangan…

Shahelmey menggema seruan Datuk Seri Masidi Manjun, Menteri Kerajaan Tempatan dan Perumahan Sabah, memanggil rakyat yang sihat tampil menderma ke tabung hospital.

“Rakyat Sabah juga disarankan segera mendaftar diri untuk divaksin. Ramai daripada masyarakat masih mengamalkan mentaliti ‘tunggu dan lihat’ kerana takut akan kesan sampingan…

“Setakat ini lebih 42 ribu individu telah divaksin dan biarlah mereka menjadi testimoni kepada ahli keluarga dan rakan-rakan.”

Mengulas lanjut tentang penularan dakwaan vaksin kini boleh didapati secara ‘walk-in’, dia membidas itu dengan berkata itu sebuah kes terpencil yang juga bergantung kepada nasib.

“Sekarang kita dalam fasa kedua vaksinasi selepas barisan hadapan; kini memfokuskan kepada warga emas, OKU, dan penghidap penyakit kronik…

“Kadang kala ada yang tidak menghadir temu janji mereka maka sesiapa yang kebetulan mendaftarkan diri secara manual di pusat vaksinasi pada hari tersebut mungkin akan mendapat suntikan mereka.

“Ini kerana kita tidak mahu membazir vaksin kerana apabila dikeluarkan dari simpanan sejuk, keberkesanan vaksin itu akan mula merosot,” katanya.

Beliau mengingati mereka yang telah diberikan temu janji untuk tidak melepaskan peluang tersebut.

“Jangan melihat keperluan vaksin itu di peringkat Sabah sahaja, ia diperlukan di seluruh dunia. Jika berlakunya pembaziran maka sasaran kerajaan memvaksinasi 80 peratus rakyat Malaysia menjelang tahun 2022 akan semakin tergendala pada masa yang sama merugikan,” tambah beliau.

Beliau ditemui selepas sesi pengagihan kuih raya kepada pengamal media di bangunan Tun Fuad Stephens.