KOTA KINABALU: Pengurusan Biasiswa Kerajaan Negeri Sabah (BKNS) memberi jaminan akan menyelesaikan segera isu kelewatan penyaluran biasiswa, kata Ketua Setiausaha Politik kepada Ketua Menteri, Datuk Azrul Ibrahim.
Menurutnya, jaminan itu diperoleh selepas beliau mengadakan pertemuan dengan pihak pengurusan BKNS susulan isu kelewatan bayaran biasiswa yang tular di media sosial.
“Saya telah mengadakan pertemuan dengan pihak pengurusan BKNS dan mereka telah memberi jaminan serta komitmen untuk menyelesaikan perkara ini dengan segera,” katanya dalam satu kenyataan di Facebook pada Selasa.
Dalam pada itu, Azrul menegaskan Kerajaan Negeri Sabah di bawah pimpinan Ketua Menteri, Datuk Seri Hajiji Noor, kekal konsisten meletakkan pendidikan sebagai teras utama pembangunan negeri.
Beliau berkata, komitmen itu diterjemahkan melalui pelaburan besar dalam sektor pendidikan dan pembangunan modal insan, dengan hampir RM1.3 bilion diperuntukkan sepanjang tempoh lima tahun lalu.
Katanya, antara langkah signifikan termasuk peningkatan dana biasiswa kepada hampir RM150 juta pada tahun 2025, manakala seramai 11,207 pelajar menerima tajaan BKNS pada tahun 2026 merangkumi pelbagai peringkat pengajian.
Azrul mengakui terdapat cabaran dalam pelaksanaan, namun menegaskan keutamaan kerajaan adalah memastikan setiap isu dapat ditangani dengan berkesan.
“Kita tidak menafikan bahawa terdapat cabaran dalam pelaksanaan, namun yang lebih penting adalah keupayaan untuk bertindak dan menyelesaikan,” katanya.
Beliau menambah, agenda memperkasa pendidikan anak Sabah akan terus menjadi keutamaan kerajaan negeri, bukan sekadar janji, sebaliknya komitmen berterusan demi masa depan generasi akan datang.






