Segera Naik Taraf “Pusingan U Maut” Jalan Lintas – Phoong

Segera Naik Taraf “Pusingan U Maut” Jalan Lintas – Phoong

0
SHARE

KOTA KINABALU: Menteri Pembangunan Perindustrian dan Keusahawanan Datuk Phoong Jin Zhe menggesa kerajaan Persekutuan segera menaik taraf Jalan Lintas yang kini menjadi lokasi kerap kemalangan dan tidak lagi selamat digunakan.

Ahli Dewan Undangan Negeri Luyang itu berkata jalan tersebut tidak lagi mampu menampung pertumbuhan pesat kawasan seperti Luyang, Sembulan, Kolombong dan Lintas yang menyaksikan banyak laluan keluar masuk dan U-turn tidak terkawal sehingga meningkatkan risiko kemalangan.

Phoong menekankan keperluan mendesak untuk menaik taraf jalan itu dan mahu projek tersebut dimasukkan dalam Rancangan Malaysia Ke-13 (RMK13).

Menurutnya, walaupun dibina mengikut piawaian lebuh raya, jalan itu kini sesak teruk terutama waktu puncak dan reka bentuk sedia ada dengan terlalu banyak lampu isyarat dan U-turn menjejaskan kelancaran trafik.

Antara lokasi berisiko tinggi yang sering disebut sebagai “pusingan U maut” termasuk berhampiran Khidmat dan Starbucks Iramanis, susulan kekerapan kemalangan yang turut tular dalam media sosial.

Katanya, kali terakhir projek penaiktarafan besar dilakukan ialah 10 tahun lalu di bawah RMK11, namun sejak itu jumlah penduduk dan kenderaan telah berganda.

Justeru, beliau mencadangkan pembinaan jejambat baharu, lorong ekspres dari jejambat Inanam ke Lapangan Terbang Kota Kinabalu, serta reka bentuk semula aliran trafik untuk mengurangkan kesesakan dan risiko kemalangan.

Beliau telah berhubung dengan agensi berkaitan dan menggesa JKR Sabah membawa cadangan tersebut ke peringkat tertinggi dengan justifikasi kukuh agar diberi keutamaan.

Phoong turut menegaskan bahawa naik taraf jalan ini perlu seiring dengan perancangan sistem pengangkutan awam demi pembangunan mampan Kota Kinabalu.

“Waktu untuk merancang sudah berlalu. Jika terus ditangguh, nyawa akan terus terancam dan pembangunan kota ini akan terjejas,” katanya.