
KOTA KINABALU, SABAH – Jabatan Hal Ehwal Wanita Sabah (JHEWA) mengagihkan 1,400 pek bubur lambuk sempena bulan Ramadan.
Menteri Pembangunan Masyarakat dan Kesejahteraan Rakyat, Datuk James Ratib berkata, program anjuran JHEWA bersama Usahawan Intelek Sabah (SWISE), Adabi dan Stesen Noorndy (Petronas) itu mampu memupuk semangat berganding bahu dalam melaksanakan aktiviti kebajikan.
“Pada hari ini (semalam), sebanyak 1,400 pek bubur lambuk diagihkan kepada golongan sasar iaitu masyarakat setempat, masjid, madrasah, warga Wisma Wanita dan agensi di bawah Kementerian Pembangunan Masyarakat dan Kesejahteraan Rakyat (KPMKR).
“Selain sebagai salah satu usaha kebajikan, program ini dapat memupuk kerjasama dan merapatkan hubungan antara agensi kerajaan serta NGO.
“Saya berharap program ini diperluaskan lagi dengan lebih banyak persatuan dan NGO wanita di Sabah tampil memberi kerjasama di masa akan datang,” katanya ketika ditemui media selepas merasmikan Program Ukhuwah Ramadan Agihan Bubur Lambuk di perkarangan Wisma Wanita, pada Selasa.
Dalam program tersebut, sebanyak enam masjid dan satu madrasah menerima agihan bubur lambuk antaranya Masjid Nur Hidayah Taman Keramat, Masjid Jamek Kampung Likas, Masjid Al Kauthar Tanjung Aru, Masjid Al-Falah Kepayan, Masjid Nur Iman dan Madrasah Wakaf Islamiah Sabah.
Turut hadir, Pembantu Menteri Pembangunan Masyarakat dan Kesejahteraan Rakyat, Datuk Flovia Ng, Setiausaha Tetap KPMKR, Maria Chong dan Pengarah JHEWA, Haslina Ismail. — JABATAN PENERANGAN SABAH





