250 Kanak-Kanak Sertai Program Berkhatan Perdana

250 Kanak-Kanak Sertai Program Berkhatan Perdana

0
SHARE
Shahelmey
Kanak-kanak bersalaman dengan Shahelmey (tengah) di ruang legar masjid ( Sumber Foto: Ihsan Jabatan Penerangan Sabah )

PUTATAN, SABAH – Seramai 250 kanak-kanak menyertai Program Berkhatan Perdana yang dilaksanakan serentak di empat lokasi sekitar daerah ini.

Timbalan Ketua Menteri III, Datuk Shahelmey Yahya berkata program tersebut diadakan untuk membantu meringankan kos berkhatan kerana jika dibuat di klinik swasta, kos dianggarkan sebanyak RM150 hingga RM250.

“Bagi ibubapa yang mempunyai lebih daripada seorang anak lelaki, ini dapat membantu meringankan kos tersebut.

“Program sehari ini diadakan sempena cuti sekolah dan saya mengucapkan terima kasih kepada Ahli Jawatankuasa Penganjur dan para ibubapa yang turut menjayakan majlis ini,” katanya semasa merasmikan Program Berkhatan Perdana Parlimen Putatan yang diadakan di sini, pada Ahad.

Program berkhatan tersebut merupakan anjuran Pejabat Parlimen Putatan dengan kerjasama beberapa agensi kerajaan dan dilaksanakan serentak di Masjid Daerah Putatan, Masjid Al-Amin Kampung Serigai, Masjid Al-Hilal Tanjung Dumpil serta Masjid Nur Hidayah Kampung Meruntum.

Dalam pada itu, Shahelmey turut mengingatkan para ibubapa untuk mengemaskini Sistem Data Pangkalan Utama (PADU) sebelum tamat tempoh pada 30 Mac 2024.

Selain menyampaikan bunga telur, Shahelmey turut meluangkan masa melawat dan bermesra dengan para penjaga yang mengiringi anak masing-masing. — JABATAN PENERANGAN SABAH