PAPAR, SABAH – Harga kawalan beras akan dimuktamadkan melalui Mesyuarat Khas Majlis Tindakan Sara Hidup Negara (NACCOL), Jumaat depan (23 Februari 2024).
Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup Datuk Armizan Mohd Ali berkata mesyuarat tersebut akan dipengerusikan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.
“Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) selaku Urusetia NACCOL telah mendapat pengesahan Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan (KPKM) bahawa salah satu perkara yang akan diangkat untuk pertimbangan adalah berkaitan bekalan beras negara.
“Sejak berkuatkuasanya Akta Kawalan Padi dan Beras 1994 (Akta 522), kuasa kawal selia padi dan beras termasuk berkaitan hala tuju bekalan dan harga adalah terletak di bawah Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan (KPKM).
“Oleh itu, sebarang perubahan yang melibatkan dasar dan program kerajaan yang terkait dengan industri padi dan beras adalah di bawah tanggungjawab Menteri KPKM sejajar dengan Perintah yang dikeluarkan di bawah Akta Fungsi-Fungsi Menteri 1969,” ujar beliau sebagai mengulas kenyataan Anwar, Jumaat lalu.
Menurut Armizan, kerangka struktur NACCOL mempunyai empat peringkat jawatankuasa iaitu Majlis Tertinggi, Jawatankuasa Peringkat Eksekutif, Jawatankuasa Pemantauan Pelaksanaan dan Jawatankuasa Kumpulan Kerja Kluster.
“Majlis Tindakan Sara Hidup induk dipengerusikan oleh YAB Perdana Menteri manakala, Jawatankuasa Eksekutif NACCOL dipengerusikan YAB TPM 1.
“Di bawah Jawatankuasa pemantauan pelaksanaan, Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup di bawahnya terdapat beberapa kluster yang dipengerusikan oleh kementerian-kementerian tertentu.
“Contohnya, kluster makanan dipengerusikan oleh KPKM, kluster pendapatan oleh kementerian ekonomi, kluster pengangkutan oleh kementerian pengangkutan dan kluster perumahan oleh KPKT dan sebagainya.
“Itulah tadbir urus NACCOL sebenarnya bermula dari kluster di mana kementerian-kementerian itu akan membawa sebarang cadangan dikaji di peringkat kluster dan dibawa ke eksekutif sebelum diangkat kepada NACCOL.
“Peranan jawatankuasa yang saya pengerusikan ini adalah untuk memantau sebarang keputusan yang telah dibuat dalam mesyuarat NACCOL,” jelasnya kepada media dalam Majlis Berkhatan Peringkat DUN Kawang di Masjid Al Falah Kg Pengalat Kecil dekat sini, hari ini.
Beliau yang juga Ahli Parlimen memaklumkan seramai 260 kanak-kanak menyertai program tahunan anjuran bersama Pejabat Parlimen dan Unit Pemimpin Pembangunan Masyarakat (UPPM) DUN kawang bersempena cuti sekolah.
“Ini merupakan acara tahunan yang melibatkan penggerak-penggerak masjid di papar.
“Kita berharap program ini dapat beri manfaat kepada masyarakat khususnya golongan ibu bapa yang memerlukan dan ini sedikit sebanyak dapat meringankan beban kos penganjuran majlis untuk anak-anak mereka,” tambah beliau.
Pada majlis itu, beliau diiringi ADUN Kawang Datuk Seri Ghulamhaidar Khan Bahadar dan Pegawai Daerah, Mohd Fuad Abdullah turut menyampaikan sumbangan kepada Pengerusi-pengerusi masjid di sekitar Papar antaranya, Masjid Puncak At Taqwa Kinarut, Masjid Nur Hikmah Kg Kuala, Masjid Nurul Iman Kg Kawang, Masjid Imam Haji Mohd Yaakub Misir Kg Beringgis dan Masjid Imam Pengiran Abdul Rauf Kg Pengalat Besar. — JABATAN PENERANGAN SABAH