Persatuan Sukan Luah Rasa Kecewa Dengan Kenyataan Adam Adli

Persatuan Sukan Luah Rasa Kecewa Dengan Kenyataan Adam Adli

0
SHARE

PETALING JAYA – Majoriti persatuan sukan di seluruh negara meluahkan rasa kecewa dengan kenyataan yang dilemparkan Timbalan Menteri Belia dan Sukan baharu, Adam Adli Abdul Halim, baru-baru ini.

Memetik sumber Utusan Malaysia, antaranya adalah Naib Presiden Persekutuan Kebangsaan Berbasikal Malaysia (PKBM), Datuk Amarjit Singh menyifatkan dakwaan oleh Adam Adli tanpa usul periksa itu adalah tidak wajar.

Menurutnya, kenyataan yang dikeluarkan terbabnit terhadap persatuan sukan tanpa mengemukakan sebarang data dan bukti seolah-olah memperlihatkan industri sukan sangat teruk.

“Ya, secara amnya, adalah baik rasuah tidak disokong tetapi untuk membuat kenyataan terbuka seperti ini (tidak sepatutnya), melainkan dia mempunyai bukti dan data untuk membenarkan apa yang beliau katakan, itu tidak wajar.

“Ini adalah kenyataan tidak matang,” katanya.

Amarjit yang juga merupakan seorang peguam dan hakim turut mencadangkan agar Adam melibatkan diri dengan pihak berkepentingan dalam industri sukan agar dapat memahami apa yang dilakukan persatuan sukan.

Menurutnya, berbasikal dan sukan berprofil tinggi lain telah menyumbangkan pingat di kejohanan tertinggi di dunia dan ini adalah persatuan yang sama telah memainkan peranan berkenaan.

Sementara itu, Persekutuan Wusyu Malaysia (WFM) Datuk Chong Kim Fatt turut meluahkan kekecewaan terhadap kenyataan Adam Adli yang beliau anggap bersifat populis.

“Kenyataan itu tidak memberi manfaat kepada mana-mana pihak. Ia hanya bersifat merobek perasaan NSA yang kononnya adalah pihak berkepentingan terbesar dalam dunia sukan.

“Adalah tidak adil bagi mereka yang telah bertungkus-lumus dan bekerja siang malam untuk membuahkan kejayaan dalam acara sukan masing-masing,” katanya.