Ambil Peluang Kukuhkan Institusi Kekeluargaan – Zulkifli

Ambil Peluang Kukuhkan Institusi Kekeluargaan – Zulkifli

0
SHARE
Zulkifli
Zulkifli mengedarkan bubur lambuk kepada penduduk di sekitar Kampung Darau ( Sumber Foto: Ihsan Jabatan Penerangan Sabah )

KOTA KINABALU, SABAH – Umat Islam dinasihatkan agar mengambil peluang sempena bulan Ramadan ini untuk memperkukuhkan institusi kekeluargaan, kata Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Senator Dr. Zulkifli Hasan.

Menurut beliau, terdapat kajian yang menunjukkan hubungan kekeluargaan sepanjang tahun dan mendapati hubungan silaturahim, kekeluargaan dan kemasyarakatan tinggi di bulan Ramadan.

“Peluang untuk berkumpul bersama keluarga, bersahur dan berbuka bersama-sama di bulan Ramadan ini merupakan peluang untuk memperbaiki dan mengukuhkan lagi hubungan kekeluargaan.

“Selain itu juga, umat Islam amat digalakkan untuk berinfak dan bersedekah sempena bulan mulia ini bagi membantu mereka yang kekurangan.

“Pada hari ini, saya berbesar hati kerana berpeluang untuk menyampaikan sumbangan dan saya mengucapkan terima kasih kepada Yayasan Dakwah Islamiah Malaysia (YADIM) Negeri Sabah, Angkatan Belia Islam Malaysia (ABIM) Sabah dan semua penyumbang lain atas sumbangan yang diberikan,” ujarnya ketika ditemui media selepas Program Iftar Komuniti Madani di Masjid Al-Munir Kampung Darau, pada Sabtu.

Dalam pada itu, Zulkifli memaklumkan siasatan berkenaan isu stoking tertera kalimah Allah kini sedang dijalankan.

“Kita tunggu siasatan dilakukan dan saya percaya pemantauan dan penguatkuasaan giat dijalankan oleh pihak berkuasa.

“Sehubungan itu, saya sarankan semua agar kekal tenang dan tindakan sewajarnya akan dikenakan kepada mereka yang terlibat,” tambahnya.

Pada majlis itu, beliau sempat mengedarkan bubur lambuk kepada penduduk di sekitar Kg. Darau dan menyampaikan sumbangan Bakul Rahmah kepada 110 golongan asnaf, anak yatim, Orang Kurang Upaya (OKU) dan ibu tunggal.

Hadir sama, Pengarah Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) Cawangan Negeri Sabah, Datuk Norjeli Dais, Pengarah Kanan Bahagian Pembangunan Komuniti YADIM, Ahmad Saparuddin Yusof, Pengarah YADIM Sabah, Tabi’in Sahri dan Pengurus Masjid Al-Munir Kampung Darau, Ajit Ismail. — JABATAN PENERANGAN SABAH