KOTA KINABALU, SABAH – Tiga premis di Jalan Rampayan sini termasuk sebuah pasaraya Bataras, kedai perabot Sunshine dan gudang milik syarikat perkapalan dan penghantaran Cahaya Bakti Sdn.Bhd musnah dalam kebakaran kira-kira 10.30 pagi tadi.
Seramai 43 anggota Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) dari balai-balai Lintas, Kota Kinabalu, Tuaran dan Penampang berjaya memedamkan api dalam pertempuran yang memakan masa lebih kurang sejam.
Menurut laporan Pusat Gerakan Operasi Bomba Sabah, sebuah kedai perabot, New Tech Furniture, hanya terbakar 5 peratus dan bangunan Bataras terbakar 80 peratus manakala dua premis yang lain terbakar 100 peratus.
“Operasi pemadaman kebakaran dibahagikan kepada tiga sektor iaitu sektor pertama empat aliran 600 kaki lima pancutan sumber air dari tangki jentera.
“Sektor kedua, dipadam dengan satu aliran 200 kaki, dua pancutan sumber air dari tangki jentera dan sektor ketiga satu aliran 300 kaki, satu pancutan sumber air dari pili bomba berhampiran.
“Tiada mangsa dilaporkan terlibat dan operasi terkawal pada jam 12.10 tengah hari,” kata seorang jurucakap bagi agensi berkenaan.
Tambahnya, agensi bantuan seperti polis, Sabah Electricity Sdn Bhd, Jabatan Air Negeri Sabah, RELA dan Angkatan Pertahanan Awam (APM) turut berada di lokasi selain kehadiran 12 pegawai kanan anggota bomba.
Anggaran kerugian dan punca kemalangan sedang disiasat pihak forensik JBPM Sabah.