Ewon Lancar Inisiatif Baharu PERNAS Untuk Golongan Pesara

Ewon Lancar Inisiatif Baharu PERNAS Untuk Golongan Pesara

0
SHARE
Ewon
Ewon ketika berucap dalam Pembangunan Usahawan dan Koperasi Datuk Ewon Benedick pada Karnival PENAS, di Sabah International Convention Centre (SICC) - ( Sumber Foto: Ihsan KUSKOP )

KOTA KINABALU, SABAH – Perbadanan Nasional Berhad (PERNAS), agensi di bawah Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi (KUSKOP) memperkenalkan produk baharu iaitu Program Inisiatif Keusahawanan Veteran dan Pembiayaan (I-VIP) untuk golongan pesara dan veteran.

Program baharu itu dilancarkan oleh Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi Datuk Ewon Benedick pada Karnival PENAS, di Sabah International Convention Centre (SICC), di sini, semalam.

Ewon berkata, melalui program ini, PERNAS memperuntukkan nilai pembiayaan RM3 juta dan dijangka dapat melahirkan 200 usahawan baharu serta mewujudkan lebih 300 peluang pekerjaan.

“Justeru, saya berharap rakyat Sabah mengambil peluang ini untuk mendaftar sebagai peserta program I-VIP PERNAS,” katanya.

Ewon berkata, program I-VIP membuktikan usaha Kementerian dan agensi memperkasa usahawan bukan sahaja dalam kalangan golongan belia, malah komited membantu golongan veteran dan pesara.

“Melalui program ini, peserta akan menerima bantuan pembiayaan, bimbingan, latihan dan khidmat nasihat daripada PERNAS.

“Antara kumpulan sasaran adalah golongan pesara badan beruniform, pesara kerajaan, pesara agensi korporat atau swasta atau yang menerima ‘Voluntary Separation Scheme’ (VSS) serta ‘Mutual Separation Scheme’ (MSS),” katanya.

Lebih 100 usahawan dan pempamer perniagaan menyertai karnival ini iaitu usahawan francais, prafrancais, usahawan tempatan yang mempromosikan perkhidmatan, makanan, bahan segar, kraftangan, produk tradisional serta trak makanan.