KIULU, SABAH – Pengerusi Lembaga Pelancongan Sabah (STB) Datuk Joniston Bangkuai, menyeru belia Sabah untuk memanfaatkan peluang perniagaan dan pekerjaan yang ditawarkan oleh pelancongan luar bandar.
Memetik Kiulu sebagai contoh, beliau berkata 400 pekerjaan sepenuh masa dan sambilan diwujudkan dengan pembukaan lebih 80 perniagaan berkaitan pelancongan di kawasan itu.
Joniston, yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kiulu, menegaskan penglibatan berterusan dalam pelancongan akan memastikan kemakmuran jangka panjang untuk kawasan luar bandar dan komuniti mereka.
Beliau berkata demikian pada penutupan Program Pengalaman Perkhidmatan Holistik yang diadakan di Riverbug Base Camp dan The Adventure Center di sini, pada Ahad.
Dianjurkan oleh Kolej Universiti Borneo Utara, program itu bertujuan untuk melengkapkan pelajar dengan kemahiran praktikal penting dan kepimpinan yang diperlukan untuk industri hospitaliti.
Hadir sama ialah Naib Canselor Kolej Universiti Borneo Utara Prof. Datuk Dr Azimuddin Bahari.
“Gunakan sepenuhnya pengetahuan mengenai pelancongan dan hospitaliti yang anda perolehi dalam pengajian anda dengan menceburi perniagaan pelancongan,” kata Joniston.
Pembantu Menteri Pelancongan, Kebudayaan dan Alam Sekitar itu menyatakan bahawa Kiulu telah menjadi destinasi popular untuk pelancong dan pelajar antarabangsa, terutamanya untuk kem musim panas.
Beliau juga menggalakkan institusi pendidikan tempatan dan pelajar untuk mempertimbangkan Kiulu untuk aktiviti pembinaan pasukan dan pembangunan peribadi.
Joniston menambah program seperti ini memberikan pengalaman akademik dan praktikal yang berharga sambil mendedahkan pelajar kepada sektor pelancongan Sabah yang semakin berkembang.