KOTA KINABALU, SABAH – Seorang ahli sindiket ditahan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) kerana dipercayai meminta rasuah lebih RM2,000 daripada orang awam bagi tujuan pendaftaran Sijil Digital Vaksinasi COVID-19 di dalam aplikasi MySejahtera pada Oktober 2021.
Menurut sumber, ahli sindiket berusia 31 tahun tersebut dipercayai memberi wang rasuah yang diterima daripada orang awam kepada sukarelawan yang bertugas di salah sebuah Pusat Pemberian Vaksin (PPV) sekitar Sabah sebagai balasan untuk mendaftarkan penama-penama yang tidak menerima suntikan dos vaksin COVID-19 bagi mendapatkan Sijil Digital Vaksinasi di dalam sistem MySejahtera.
Tambah sumber, suspek lelaki itu ditahan kira-kira pukul 1.30 petang tadi di SPRM Kota Kinabalu susulan satu operasi yang dilancarkan di daerah tersebut.
Sementara itu, Pengarah SPRM Sabah, Datuk S. Karunanithy ketika dihubungi mengesahkan penahanan tersebut dan berkata suspek disiasat mengikut Seksyen 16(a)(A) Akta SPRM 2009.
Tambahnya, permohonan reman dijangka akan dibuat esok di Mahkamah Majistret Kota Kinabalu, Sabah.