Jangan Lengahkan Tindakan Terhadap Kanak-Kanak Tanpa Kerakyatan – Chan

Jangan Lengahkan Tindakan Terhadap Kanak-Kanak Tanpa Kerakyatan – Chan

0
SHARE

KOTA KINABALU, SABAH – Ahli Parlimen Kota Kinabalu Chan Foong Hin menggesa agar kanak-kanak tanpa kerakyatan yang membuat kecoh di bandar ini diambil tindakan segera seperti yang dikatakan Pembantu Menteri kepada Ketua Menteri Sabah, Datuk Abidin Madingkir.

Sebelum ini, Abidin yang bertanggungjawab ke atas Dewan Bandaraya Kota Kinabalu (DBKK) telah mengumumkan pada 31 Januari bahawa pusat perlindungan untuk kanak-kanak tanpa kerakyatan sedia untuk beroperasi di Kota Kinabalu.

Chan yang juga Timbalan Menteri Pertanian dan Keselamatan Makanan itu bagaimanapun berkata sudah seminggu telah berlalu namun kanak-kanak berkenaan terus melakukan perbuatan tidak senonoh terutamanya di jalan raya yang sibuk di pusat bandar Kota Kinabalu.

Baru-baru ini, beberapa video tular dimana seorang kanak-kanak dirakam cuba memanjat sebuah kereta dan akhirnya terjatuh ke jalan raya ketika kenderaan tersebut bergerak.

Kereta
Tangkap layar rakaman video yang tular di media sosial menggambarkan seorang kanak-kanak dipercayai tanpa status kerakyatan cuba memanjat sebuah kereta yang menunggu isyarat lampu hijau pada sebuah laluan di Bandaraya Kota Kinabalu (Sumber Foto: Video tular)

Sebuah video berasingan menunjukkan lagi seroang kanak-kanak menghumban sesuatu kepada cermin sisi seorang pemandu di Kota Kinabalu.

Chan menyifatkan mereka sebagai menakutkan pengguna jalan raya tanpa menghiraukan keselamatan diri sendiri.

“Walaupun sibuk dengan kerja di Putrajaya, saya telah mengambil cuti untuk membuat susulan isu dengan DBKK, PDRM dan Datuk Abidin.

“Datuk Abidin memaklumkan kepada saya bahawa perkara itu adalah di bawah bidang kuasa Datuk James Ratib yang baru mengangkat sumpah sebagai Menteri Pembangunan Masyarakat dan Kesejahteraan Rakyat Sabah.

“Saya kemudian menghubungi Datuk James Ratib yang memaklumkan bahawa mereka sedang mengambil tindakan sekarang untuk membuat perolehan makanan untuk kanak-kanak dipercayai tanpa kerakyatan ini kemudian boleh dibawa ke pusat perlindungan tidak lama lagi.

“Tidak perlu berlengah untuk mengambil anak-anak tanpa kerakyatan ini kerana ia akan menjejaskan keyakinan orang ramai terhadap Kerajaan Perpaduan Sabah,” katanya.