KUALA LUMPUR – Kerajaan mengeluarkan arahan bekerja daripada rumah (Work From Home) mulai 22 OKTOBER 2020 ini buat semua pekerja sektor awam dan swasta peringkat pengurusan serta pentadbiran yang berada dalam kawasan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB), demikian menurut Menteri Kanan (Keselamatan), Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob dalam sidang media hari ini.
Pelaksanaan arahan ini berkuatkuasa sehingga pelaksanaan PKPB di Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, Putrajaya, Labuan, Selangor dan Sabah tamat yang mana akan membabitkan sejuta pekerja di kawasan terlibat.
Menurutnya lagi, keputusan itu dibuat menerusi Sidang Khas Majlis Keselamatan Negara (MKN) yang dipengerusikan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin selepas mendengar pembentangan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) berhubung peningkatan kes jangkitan Covid-19 membabitkan pekerja di pejabat.
“Terdapat sembilan kluster dari tempat kerja di negeri Selangor sehingga hari ini…
“Justeru, pekerja bagi sektor awam dan swasta di peringkat pengurusan serta pengawasan tidak perlu hadir ke pejabat tetapi hanya bekerja dari rumah (Work From Home) sepanjang PKPB,” katanya dalam sidang media hari ini.

Bagaimanapun, beliau berkata, pekerja dalam urusan kewangan yang membuat bayaran, pengurusan, penguatkuasaan dan kebajikan diberi pengecualian untuk bekerja di pejabat.
“Majikan perlu mengeluarkan surat pelepasan perjalanan bagi setiap kakitangan yang terpaksa bekerja di pejabat sepanjang tempoh berkenaan,” katanya lagi.
Dalam pada masa yang sama, beliau memaklumkan maklumat lanjut berhubung jenis pekerjaan dan prosedur operasi standard (SOP) akan dimaklumkan oleh Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI) menerusi kenyataan media dalam masa terdekat.
Ismail Sabri turut memaklumkan pihak Pertubuhan Keselamatan Sosial (PERKESO) akan menanggung kos pekerja yang tinggal di kawasan Zon Merah yang mana mereka diwajibkan untuk menjalani ujian swab COVID-19.