KUALA LUMPUR: Sabah Development Bank Berhad (SDB), milik penuh Kerajaan Negeri Sabah, telah memfailkan saman sivil terhadap firma audit antarabangsa Ernst & Young PLT (EY), mendakwa kecuaian profesional menyebabkan kerugian melebihi RM1.9 bilion.
SDB dalam pernyataan tuntutan mendakwa audit terhadap penyata kewangan bank bagi tahun 2017 hingga 2022 gagal mengesan kelemahan kawalan dalaman, penilaian aset cagaran, dan pengurusan risiko pinjaman, yang dikatakan menyumbang kepada kadar pinjaman tidak berbayar yang tinggi.
Antara dakwaan termasuk kegagalan melaporkan kemerosotan nilai aset, penggunaan laporan penilaian lapuk, dan persembahan gambaran kewangan yang dikatakan tidak mencerminkan realiti sebenar.
Laporan audit terkini mendapati kerugian sebelum cukai bagi tahun 2023 mencecah RM878 juta.
SDB juga menegaskan kes ini melibatkan kepentingan awam dan tidak wajar diselesaikan melalui timbang tara.
EY menafikan semua dakwaan dan menegaskan audit dilakukan mengikut piawaian profesional.
Mahkamah menetapkan 2 Julai 2025 untuk pendengaran semula kes.






