ESSCOM Tahan 3 Lelaki, Rampas Barang Seludup Bernilai RM334,000 di Tawau

ESSCOM Tahan 3 Lelaki, Rampas Barang Seludup Bernilai RM334,000 di Tawau

0
SHARE

TAWAU: Seramai tiga lelaki tempatan berusia antara 31 hingga 37 tahun ditahan dalam Operasi TIRIS oleh Eastern Sabah Security Command (ESSCOM) bersama KPDN dan Kastam pada 16 dan 17 Jun lalu di dua lokasi berasingan di Tawau, dengan nilai rampasan keseluruhan sebanyak RM334,440.

Komander ESSCOM, DCP Datuk Victor Sanjos berkata, operasi pertama menahan tiga suspek bersama minyak diesel dalam kenderaan pacuan empat roda yang diubah suai serta pelbagai peralatan berkaitan aktiviti penyeludupan.

“Kesemua suspek telah diserahkan kepada KPDN untuk siasatan mengikut Akta Kawalan Bekalan 1961,” katanya dalam sebuah kenyataan.

Dalam operasi kedua, pihak berkuasa menemui sebuah bot mencurigakan yang memasuki perairan Malaysia dari Indonesia.

Juragan dan penumpang melarikan diri dengan terjun ke laut, namun seorang wanita tempatan berjaya ditahan bersama barang tanpa dokumen kastam. Sebuah lori mencurigakan juga dirampas.

“Siasatan terhadap wanita terbabit dikendalikan oleh Kastam di bawah Akta Kastam 1967,” jelas Victor.

Beliau menegaskan bahawa ESSCOM komited membanteras jenayah rentas sempadan yang menggugat keselamatan dan ekonomi di Zon Selamat Sabah Timur (ESS Zone).

“Operasi seperti ini penting bagi mengekang ketirisan hasil negara dan melindungi hak rakyat daripada diseleweng pihak tidak bertanggungjawab,” katanya.

Beliau menyeru masyarakat agar menyalurkan maklumat ke Pusat Operasi ESSCOM.