SIP Bebas Hutang Kerana SMJE, Tiada Rancangan Untuk Ditutup – Masidi

SIP Bebas Hutang Kerana SMJE, Tiada Rancangan Untuk Ditutup – Masidi

0
SHARE
Masidi
Menteri Kewangan Sabah, Datuk Masidi Manjun...

KOTA KINABALU, SABAH – Kerajaan Sabah tidak bercadang untuk menutup Sabah International Petroleum (SIP) kerana ia kini bebas hutang dan menjadi anak syarikat SMJ Energy Sdn Bhd (SMJE).

Menteri Kewangan Datuk Seri Masidi Manjun berkata SIP menjadi bebas hutang berikutan penstrukturan semula oleh SMJE yang melibatkan pengumpulan RM900 juta daripada bon Sukuk Wakalahnya.

“Oleh itu, SIP tidak lagi membebankan kerajaan dan menjana aliran tunai yang positif dan stabil daripada operasinya.

“Walaupun program Sukuk Wakalah telah terlebih langgan sebanyak 3.9 kali, SMJE tidak bercadang buat masa ini untuk menggunakan baki sukuk RM10 bilion itu.

“SMJE sejak itu telah memperoleh portfolio seimbang dan mampu menggunakan tunai yang dijana secara dalaman untuk membiayai operasi semasanya,” kata ADUN Gagasan Rakyat – Karanaan itu.

Masidi menjawab soalan Datuk Seri Mohd Shafie Apdal (WARISAN – Senallang) yang membangkitkan soalan itu pada persidangan DUN pada Isnin.

Shafie juga bertanya sama ada negeri boleh memastikan kerugian SIP dapat dipulihkan kerana ia masih berhutang bon sukuk RM900 juta selain masih menyamakannya dengan skandal 1MDB yang mana hutang ditanggung oleh kerajaan.

“Kami terpaksa mengadakan jerayawara ke semua bank untuk menaikkan Sukuk Wakalah di mana penggunaan wang yang diperoleh melalui bon itu juga diteliti.

“Bukan macam kes 1MDB yang kononnya duit terus dikeluarkan untuk bayar hutang. Kalau ada isu ketirisan, kita serahkan kepada pihak berkuasa.

“Masalah SIP ialah hutang yang tidak dibayar bukan sahaja kepada SDBank tetapi bank lain, dan wang yang diperoleh kerajaan melalui bon Sukuk telah menyelesaikannya.

“Membayar melalui bon Sukuk boleh menjimatkan faedah sehingga RM6 juta setahun memandangkan kadar tinggi SDBank antara enam hingga tujuh peratus,” katanya.

Masidi hairan dengan soalan Shafie yang memanya mengapa kerajaan tidak meminta kadar faedah yang lebih rendah dan tempoh pembayaran balik yang lebih lama kerana kedua-dua SIP dan SDBank merupakan entiti kerajaan.

Saya tidak tahu, saya tidak pernah mendengar kerajaan campur tangan untuk melaraskan kadar faedah bank sebelum ini.

“Setahu saya, kita tidak boleh meminta Maybank memberikan kami diskaun ke atas kadar faedah.

“Dan jika ia benar-benar mungkin, maka mengapa anda tidak melakukannya dalam tempoh dua tahun anda menjadi Menteri Kewangan Negeri?” katanya.

Kemudian, apabila Shafie mengkritik kekurangan kepakaran SMJE dalam mengendalikan hal-hal minyak dan gas di negeri ini dari segi penapisan minyak dan proses carigali, Masidi berkata ianya bukan tahun 70-an lagi.

“Terdapat banyak cara baharu untuk menguruskan syarikat. Kami menjimatkan wang untuk pentadbiran agar tidak banyak perbelanjaan berulang.

“SMJE hanya mempunyai 23 kakitangan setakat ini dan semuanya pakar. Kami tidak perlu mengambil banyak kakitangan sebab banyak jenis kerja yang boleh menggunakan perkhidmatan luar,” katanya.