KOTA KINABALU: Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup Negeri Sabah (KPDN) telah menahan dua warga tempatan dan menyita dua kenderaan yang disyaki telah diubahsuai di stesen minyak kawasan Inanam dan Luyang pada 7 April lalu.
Pengarah KPDN Sabah, Shahril Nizam Shahidin dalam satu kenyataan memaklumkan, tangkapan tersebut dibuat menerusi inisiaitif operasi KITA GEMPUR oleh pasukan pegawai Penguat Kuasa Seksyen Penguat Kuasa KPDN Sabah.
“Pemeriksaan telah menghasilkan tiga kes di bawah Akta Kawalan Bekalan 1961 dan menahan dua orang warga tempatan bagi tujuan siasatan lanjut serta menyita dua kenderaan yang disyaki telah diubahsuai dengan anggaran nilai sitaan berjumlah RM45,752.50.
“Manakala pemilik stesen juga turut diambil tindakan kerana disyaki melakukan pelanggaran di bawah Akta yang sama,” katanya.
KPDN Sabah akan terus mempergiat pemantauan dan penguatkuasaan bagi mengelakkan ketirisan terutamanya barang kawalan bersubsidi yang sepatutnya dinikmati oleh rakyat.
Mana-mana pelanggaran di bawah Akta Kawalan Bekalan 1961 boleh diambil tindakan dan jika disabitkan kesalahan boleh didenda seperti berikut;
I. Individu: Denda tidak melebihi RM1,000,000.00 (Ringgit Malaysia Satu Juta) atau penjara tidak lebih 3 tahun atau kedua- duanya. Bagi kesalahan kedua dan berikutnya, denda tidak melebihi RM3,000,000.00 (Ringgit Malaysia Tiga Juta) atau penjara tidak lebih 5 tahun atau kedua-duanya.
II. Syarikat: Denda tidak melebihi RM2,000,000.00 (Ringgit Malaysia Dua Juta) manakala bagi kesalahan kedua dan berikutnya, denda tidak melebihi RM5,000,000.00 (Ringgit Malaysia Lima Juta).
Sehubungan itu, masyarakat dipohon supaya menjadi mata dan telinga bagi menyalurkan maklumat yang jelas dan lengkap berhubung aktiviti penyelewengan barang kawalan dan bersubsidi atau sebarang aduan melalui saluran berikut:-
i. WhatsApp 019-848 8000;
ii. E-mel e-aduan@.kpdn.gov.my;
iii. Call Centre 1-800-886-800; dan
iv. Aplikasi Telefon Pintar Ez ADU KPDN.