KOTA KINABALU, SABAH – Insiden kebakaran bangunan menunjukkan pengurangan sebanyak 27.73 peratus tahun lalu berbanding 2020.
Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Sabah, PKPjB Mohd Ali Ismail berkata statistik itu menunjukkan sesuatu yang positif kepada jabatan.
“Jika dilihat pada seminggu sebelum dan seminggu selepas di mana perayaan Tahun Baru Cina dirayakan, rekod menunjukkan jumlah insiden kebakaran pada tahun 2020 sebanyak 147 kes kebakaran telah menurun 49 kes pada tahun berikutnya…
“Bulan perayaan menjadi fokus kerana perayaan besar ini menjadi tumpuan orang ramai untuk mengadakan lebih banyak aktiviti rumah,” katanya.
Katanya kemalangan kenderaan juga merupakan insiden yang perlu diberikan perhatian.
Menurut beliau, 14 orang maut dalam kemalangan seminggu selepas sambutan perayaan pada bulan Februari 2020; jumlah itu kemudian menurun kepada tiga (3) mangsa pada tahun berikutnya.
“Pengguna jalanraya diminta agar lebih berhati-hati, memandu dengan bertanggungjawab dan mematuhi peraturan serta lebih bertimbangrasa…
“Ini adalah elemen-elemen asas untuk memandu dengan selamat selain mengutamakan kecerdasan dan kesihatan.
“Jika penat, ambilah masa berehat dan menyambung semula perjalanan apabila bertenaga semula,” katanya.
Tambah beliau, kempen kesedaran secara berterusan dibuat oleh kerajaan walaupun seolah-olah tidak memberi kesan kerana bilangan nyawa yang terkorban di jalan raya semakin meningkat pada musim perayaan.
“Tapi, kita percaya jika kerajaan tidak menjalankan kempen keselamatan jalan raya, maka lebih banyak lagi nyawa akan melayang…
“Salah satu punca utama peningkatan kemalangan maut disebabkan kecuaian pengguna jalan raya yang tidak mematuhi undang-undang,” beliau berkata.
Katanya, 90 peratus (90%) kemalangan berpunca daripada sikap pemandu itu sendiri seperti tidak sabar dan memandu secara rakus sehingga membahayakan diri sendiri serta pengguna jalan raya lain.
“Jika setiap pemandu mematuhi undang-undang lalu lintas, ia bukan sahaja dapat mengurangkan kadar kemalangan malah mampu mencegah kematian,” katanya dalam kenyataan hari ini.





