KUALA LUMPUR – Kerajaan tidak akan mengenakan sekatan kepada kanak-kanak berusia lima hingga 11 tahun yang tidak mendapat vaksin COVID-19, kata Menteri Kesihatan Khairy Jamaluddin.
Beliau yang dipetik Bernama berkata, golongan itu tidak akan disekat seperti golongan dewasa yang tidak divaksin, kerana Program Imunisasi COVID-19 Kanak-kanak (PICKids), adalah tidak wajib.
Namun menurutnya ibu bapa digalakkan untuk mendaftarkan anak masing-masing di aplikasi MySejahtera (MySJ), demi melindungi mereka daripada COVID-19.
Minggu lalu, Khairy memaklumkan sistem tempahan janji temu pemberian vaksinasi kanak-kanak melalui MySJ akan dibuka pada akhir bulan ini, bermula di Lembah Klang dahulu.

Melalui inisiatif itu, Kementerian Kesihatan (KKM) menyasarkan 70 peratus kanak-kanak lima hingga bawah 12 tahun dalam sistem pendidikan, dapat diberikan dos satu vaksin Pfizer (kanak-kanak) dalam tempoh dua bulan dari tarikh program dilancarkan pada awal Febuari 2022, dan 80 peratus akan menerima dos lengkap dalam tempoh enam bulan.





