Bangga Anak Ada Pasport UK, Influencer Indonesia Dikecam, Suami Disiasat, Dana Berbilion...

Bangga Anak Ada Pasport UK, Influencer Indonesia Dikecam, Suami Disiasat, Dana Berbilion Diminta Pulang

0
SHARE

JAKARTA: Tindakan seorang influencer Indonesia, Dwi Sasetyaningtyas, memuat naik video mempamerkan pasport Britain milik anaknya sehingga tular mengundang kecaman ramai, memetik sumber Tempo.

Dalam video tersebut, beliau meluahkan kegembiraan dan menyatakan hasrat agar anak-anaknya menjadi warga negara asing (WNA) dengan pasport Britain.

Kenyataan itu mencetuskan perdebatan awam apabila sebahagian netizen menganggapnya memperlekehkan negara sendiri.

Isu menjadi lebih hangat apabila didedahkan bahawa Tyas dan suaminya, berinisial AP, merupakan penerima biasiswa daripada Lembaga Pengelola Dana Pendidikan (LPDP).

Tyas kemudian memadam video berkenaan dan memohon maaf melalui akaun Instagramnya, menjelaskan kenyataannya berpunca daripada kekecewaan peribadi sebagai rakyat Indonesia.

LPDP dalam kenyataan memaklumkan Tyas telah menamatkan tempoh khidmat wajibnya selepas tamat pengajian pada 2017 dan tidak lagi terikat secara undang-undang dengan agensi itu.

Namun, LPDP sedang menjalankan siasatan dalaman terhadap suaminya yang didakwa belum memenuhi kewajipan sumbangan selepas tamat pengajian.

Menurut peraturan, semua penerima biasiswa LPDP wajib berkhidmat di Indonesia selama dua tahun ditambah satu tahun tempoh pengajian.

Timbalan Menteri Pendidikan Tinggi, Sains dan Teknologi, Stella Christie menyifatkan biasiswa kerajaan sebagai “hutang budi” yang perlu difahami sebagai amanah, bukan sekadar kemudahan.

Sementara itu, Menteri Kewangan Purbaya Yudhi Sadewa menegaskan pihaknya akan menguatkuasakan peraturan LPDP dan memaklumkan bahawa AP bersetuju memulangkan dana biasiswa yang diterima bersama faedah.

Beliau turut memberi amaran bahawa tindakan tegas termasuk senarai hitam daripada perkhidmatan kerajaan akan dikenakan jika kewajipan tidak dipenuhi.

Jumlah dana yang perlu dipulangkan dianggarkan mencecah berbilion rupiah, namun angka tepat tidak didedahkan.