KUALA LUMPUR: Marshall Amplification melancarkan Emberton III Lunar New Year Edition 2026, pembesar suara edisi terhad sempena Tahun Baharu Cina, menerusi kolaborasi bersama artis China, FCCK.
Hanya 50 unit ditawarkan di Malaysia dengan harga RM1,149 seunit.
Pelancaran ini menjadi teras kempen “Live Unbridled” yang diinspirasikan daripada frasa Cina “脱缰野马” (tuō jiāng yě mǎ) bermaksud “kuda liar yang terlepas dari kekangannya”, melambangkan semangat kebebasan dan tenaga tanpa batasan.
Edisi khas Emberton III menampilkan karya seni eksklusif FCCK yang terkenal dalam dunia muzik dan vinil di China.
Reka bentuknya menggabungkan ilustrasi, corak grafik dan tipografi berani, menjadikan pembesar suara ini bukan sekadar peranti audio, tetapi kanvas seni yang menonjol.
Produk ini telah pun dilancarkan secara rasmi pada 7 Februari lalu dan dijual secara eksklusif di Against Lab, sama ada di kedai fizikal Against Lab Pudu atau secara dalam talian di againstlab.com sehingga habis stok.
Berbeza daripada pelancaran runcit biasa Marshall yang melibatkan rangkaian luas, edisi terhad ini memilih pendekatan lebih terarah dengan kerjasama eksklusif bersama Against Lab, yang sinonim dengan sokongan terhadap seni, budaya komuniti dan ekspresi kreatif.
Bagi meraikan pelancaran, Against Lab akan menganjurkan bengkel penyesuaian couplet pada hari sama, sebagai penghormatan kepada tradisi Tahun Baharu Cina menampal couplet pada bingkai pintu sebagai simbol tuah dan harapan baharu.
Marshall Amplification yang ditubuhkan pada 1962 terus mengukuhkan legasinya dalam dunia audio, manakala pengedaran rasmi produk ini di Asia Tenggara termasuk Malaysia dikendalikan oleh Ash Asia.
Kolaborasi ini menandakan kerjasama Tahun Baharu Cina keempat berturut-turut oleh Marshall bersama artis berwawasan, meraikan persilangan muzik, seni dan tradisi budaya.






