Ana Yang Punya (1 Ringgit 2 Ringgit) – Sebuah Karya Lucu Dengan...

Ana Yang Punya (1 Ringgit 2 Ringgit) – Sebuah Karya Lucu Dengan Sentuhan Kritikan Sosial

0
SHARE

KOTA KINABALU: Pitahati, salah satu kumpulan muzik tempatan yang terkenal dengan karya seni yang mendalam dan berlapis, kembali dengan single terbaru mereka iaitu, Ana Yang Punya (1
Ringgit 2 Ringgit), yang telah pun dilancarkan pada 10 Januari lalu.

Lagu rilisan Luncai Emas ini merupakan hasil ciptaan, lirik, dan produksi sepenuhnya oleh Pitahati, dengan kerjasama Husyairi Hamzah sebagai penerbit bersama. Proses rakaman, adunan, dan
mastering pula telah disempurnakan oleh Mokhtar.

Menurut Ilham, vokalis Pitahati, Ana Yang Punya adalah sebuah lagu yang bertemakan kritikan sosial terhadap individu yang menyalahgunakan kuasa dan merasakan seolah-olah dunia ini milik mereka sepenuhnya.

Walaupun begitu, mesej lagu ini tidak ditujukan secara spesifik kepada mana-mana pihak, menjadikannya relevan kepada
pelbagai situasi dan pendengar.

“Kami mahu lagu ini menjadi satu peringatan kepada mereka yang terlalu berkuasa dan terlupa akan tanggungjawab mereka. Pada masa sama, ia juga disampaikan dengan nada yang lucu dan santai,” kata Ilham.

Menariknya, kumpulan ini mengakui bahawa melodi Ana Yang Punya mungkin mengingatkan kepada karya klasik seperti Riders on the Storm oleh The Doors, sebuah kumpulan zaman 70-an dari Amerika Syarikat.

“Namun begitu, kami tidak secara langsung mengambil inspirasi daripadanya. Ia mungkin secara kebetulan atau sebahagian
daripada banyak melodi lama yang digunakan dalam muzik-muzik klasik,” jelas Hidayat selaku gitaris Pitahati.

Dari segi bunyi, lagu ini berbeza daripada karya-karya mereka yang terdahulu, mencerminkan evolusi muzik Pitahati yang kini lebih santai dan lucu.

“Kami mungkin semakin lucu berbanding sebelum ini,” kata Masrin, pemain bass mereka, sambil menegaskan bahawa unsur humor dalam lagu ini tidak mengorbankan kualiti muziknya.

Oleh kerana itu, sebagai single pertama dari album terbaru mereka, Pitahati memilih Ana Yang Punya kerana ia dianggap sebagai lagu yang paling sesuai untuk mengenalkan kepada pendengar perubahan mereka ini.

“Kami hanya berharap yang para pendengar dapat menikmati sisi lucu dan santai kami sambil memahami mesej mendalam di sebalik liriknya.” tambah Ilham.

Ana Yang Punya (1 Ringgit 2 Ringgit) boleh didapati sekarang di semua platform penstriman utama.

Selain itu, para peminat juga boleh menonton visualizer mereka di YouTube dan terus ikuti perkembangan terkini Pitahati melalui saluran media sosial mereka dan nantikan lebih banyak karya hebat daripada kumpulan ini pada masa akan datang.