Tawaran Diskaun ‘Jom Setel Kompaun’ DBKK Tamat 31 Mac Ini

Tawaran Diskaun ‘Jom Setel Kompaun’ DBKK Tamat 31 Mac Ini

0
SHARE
Gambar Hiasan

KOTA KINABALU: Dewan Bandaraya Kota Kinabalu (DBKK) meningatkan orang ramai untuk segera melaksanakan tanggungjawab menyelesaikan kompaun yang tertunggak sebelum tarikh tawaran diskaun tamat pada 31 Mac ini.

DBKK dalam satu kenyataan media hari ini berkata, kompaun tertunggak itu meliputi kesalahan Undang-Undang Kecil (Peruntukan-peruntukan Tempat Letak Kereta Awam), (Letak Kereta Awam Berkupon) Bandaraya Kota Kinabalu 2014 dan Undang-Undang Kecil (Jalan-jalan dan tempat Awam) Bandaraya Kota Kinabalu 1966, Pindaan 2008. 

“Selaras dengan kempen ‘Jom Setel Kompaun’ yang bermula pada 2 Februari lalu, pengurangan bayaran kompaun sebanyak 50 peratus sehingga 80 peratus akan diberikan kepada orang awam yang membuat pembayaran secara dalam talian. 

“Orang awam dinasihatkan untuk memanfaatkan tawaran diskaun ini yang akan tamat pada 31 Mac ini dan tiada lanjutan tempoh tawaran, pengampunan mahupun rayuan akan diterima selepas tarikh tersebut,” jelas kenyataan itu.

DBKK turut menegaskan bahawa tindakan perundangan akan diambil ke atas kesalahan bayaran kompaun tertunggak seperti yang dikuatkuasakan di bawah Undang-undang Kecil yang sama termasuk tindakan sita kenderaan.

Untuk membuat pembayaran secara dalam talian, orang ramai boleh layari eservices.dbkk.sabah.gov.my.