Belia Bahagian Terpenting Dalam Hala Tuju SMJ – Joachim

Belia Bahagian Terpenting Dalam Hala Tuju SMJ – Joachim

0
SHARE

KOTA KINABALU, SABAH – Timbalan Ketua Menteri, Datuk Dr. Joachim Gunsalam berkata, belia dan beliawanis merupakan bahagian yang terpenting dalam Hala Tuju Sabah Maju Jaya (SMJ).

Menurut beliau, tenaga mereka amat diperlukan oleh negeri ini, bukan sahaja untuk memenuhi penawaran dan permintaan para pemain industri, tetapi juga untuk membantu kerajaan negeri mengekalkan sektor perindustrian sebagai antara penyumbang utama kepada pembangunan ekonomi negeri.

Disebabkan ini, katanya, Kerajaan Negeri Sabah menghargai dedikasi semua pihak, terutamanya Jabatan Tenaga Malaysia (JTM), dalam memastikan modal insan di negeri ini mendapat pendidikan dan latihan yang mencukupi dan bersesuaian dengan bidang yang diceburi.

“Sesungguhnya para pelatih Institut Latihan Jabatan Tenaga Manusia (ILJTM) seluruh Malaysia, terutamanya di Sabah, amat beruntung kerana, di bawah inisiatif Keluarga Malaysia, semua kemudahan yang disediakan kepada mereka sepanjang tempoh pengajian di ILJTM diberikan secara percuma,” katanya ketika merasmikan Majlis Konvokesyen ILJTM 2022 yang diadakan di Institut Latihan Perindustrian Kota Kinabalu (ILPKK) di sini hari ini.

Dr. Joachim yang juga Menteri Pembangunan Perindustrian berkata, Kerajaan Negeri turut menghargai dedikasi berterusan daripada Kerajaan Persekutuan, terutamanya Kementerian Sumber Manusia (KSM), dalam memastikan nasib tenaga kerja terus mendapat pembelaan sewajarnya, lebih-lebih lagi ketika negara Malaysia sedang beralih ke fasa endemik Covid-19.

Tambahnya, pandemik tersebut telah memberikan kesan yang teruk, menyebabkan semua aktiviti ekonomi dan dasar-dasar pelaksanaan kerajaan terhenti.

“Kerajaan Negeri turut menghargai komitmen KSM yang tidak mengetepikan nasib para pemain industri ketika negara masih dalam fasa pemulihan pasca pandemik Covid-19…

“Program Subsidi Upah, misalnya, membolehkan para majikan untuk terus membayar gaji kepada para pekerja tempatan walaupun masih bergelut untuk meraih semula pendapatan bagi tujuan kelangsungan perniagaan.

“Begitu juga dengan program Penjana Kerjaya 3.0 yang membolehkan majikan dari pelbagai sektor mencari pekerja-pekerja baru dari kalangan perantis, graduan, golongan mudah terjejas dan penganggur am dan menerima insentif Jamin Kerja hasil daripada pengambilan pekerja baru yang memenuhi syarat yang ditetapkan oleh KSM.
 
“Sumbangan Kerajaan Persekutuan, terutamanya KSM dan semua jabatan dan agensi di bawahnya, kepada negeri Sabah amat besar maknanya kepada Kerajaan Negeri dan rakyatnya. Kerajaan Negeri memandang itu semua sebagai usaha-usaha murni yang menyumbang kepada berhasilnya Hala Tuju SMJ,” ujarnya.

Dr. Joachim berkata, Kerajaan Negeri ketika ini sedang berusaha memperkasakan pendidikan dan latihan teknik dan vokasional (TVET) menerusi pemerkasaan kursus kemahiran, penawaran biasiswa pendidikan kepada golongan sasar dan pelaksanaan Program Bakat dan Keusahawanan Sabah (STEP).

“Kerajaan Negeri juga berusaha mengekalkan sektor perindustrian sebagai pemain utama pertumbuhan ekonomi negeri dengan memperkasakan dan meningkatkan infrastruktur taman-taman industri seperti Taman Perindustrian Kota Kinabalu (KKIP), Taman Perindustrian Minyak dan Gas Sipitang (SOGIP) dan Kluster Industri Minyak Sawit (POIC).
 
“Pada tahun lalu dan awal tahun 2020, Kerajaan Negeri telah berjaya membawa masuk pelaburan daripada Korea Selatan dan China yang bernilai masing-masing berjumlah RM4.2 bilion dan RM2 bilion. Amat besarlah harapan Kerajaan Negeri agar pelaburan ini bukan sahaja dapat menyumbang kepada bertambahnya hasil negeri, tetapi yang lebih penting bertambah juga peluang pekerjaan untuk dirangkul oleh para tenaga mahir dari kalangan para graduan yang kita raikan pada hari ini,” katanya.

Sesuai dengan hasrat JTM untuk mengeluarkan dan membangunkan tenaga kerja yang berdaya saing, beliau amat berharap agar Majlis Konvokesyen ini menjadi pembakar semangat kepada semua graduan untuk tetap kompeten setelah memasuki pasaran kerja dan tetap konsisten untuk menyumbang kemahiran dan kepakaran kepada kesejahteraan rakyat dan pembangunan negeri.

“Saya yakin dengan semangat yang ditunjukkan oleh para graduan dan berbekalkan doa dan sokongan daripada semua pihak, hasrat kita semua dapat direalisasikan pada masa hadapan, ke arah Sabah yang lebih maju dan berjaya berbanding sebelumnya.

“Ditambah lagi ketika Malaysia baru sahaja memperingati Hari Pekerja pada 1 Mei yang lalu dengan tema ‘Pekerja Tonggak Keluarga Malaysia dalam Pemulihan Negara’. Saya juga yakin bahawa para graduan akan tetap bersemangat bekerja demi Malaysia yang lebih makmur dan bahagia.

“Sehubungan itu, janganlah pula memilih sangat pekerjaan, apabila sudah bergelar graduan. Gunakan peluang yang ada sebaik-baiknya,” katanya.

Beliau juga menasihati para graduan bahawa zaman pekerjaan merupakan masa yang terbaik untuk membalas jasa orang tua yang telah melahirkan dan membesarkan.

Di samping bekerja, katanya, para graduan juga digalakkan menambahbaik mutu kehidupan keluarga dan masyarakat denganmeraih tahap pendidikan dan kemahiran yang lebih tinggi serta mencipta peluang-peluang pekerjaan baru untuk dimanfaatkan oleh masyarakat persekitaran.