KOTA BHARU, KELANTAN – Menggunakan alasan mahu memberi bantuan kepada golongan memerlukan, seorang lelaki ditahan Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) kerana menyimpan 881 kilogram minyak masak pelbagai jenama tanpa lesen.
Taktik yang digunakan lelaki berkenaan agak licik apabila barang kawalan bersubsidi yang dipercayai diperoleh dengan membuat belian daripada pasar raya, peruncit dan pemborong sekitar Kota Bharu ditukar dengan kotak lain bagi mengaburi pihak berkuasa.
Barangan berkenaan kemudiannya disembunyikan di sebuah kondominium yang disewa di atas sebuah pasar raya di sini.
Ketua Pegawai Penguat Kuasa KPDNHEP Kelantan, Azanizam Affendi Juri yang dipetik BH Online berkata serbuan dilakukan dengan kerjasama Agensi Kawalan Sempadan Malaysia (AKSEM) bermula 6 petang hingga 3 pagi semalam hasil intipan mereka selama seminggu.
Katanya, hasil serbuan berkenaan, pasukan operasi menyita barang kawalan bersubsidi minyak masak pelbagai jenama anggaran berjumlah 881 kilogram bernilai RM2,200.
“Kita turut menahan seorang lelaki berusia 49 tahun yang menyewa kondominium berkenaan untuk siasatan lanjut.
“Berdasarkan soal siasat, lelaki itu mendakwa bekalan terbabit dibeli untuk diagihkan sebagai bantuan kepada orang ramai…
“Namun, apa yang menjadi kesalahan lelaki berkenaan ialah tidak mempunyai lesen memiliki barang kawalan,” katanya ketika dihubungi.
Beliau berkata, kes berkenaan disiasat lanjut mengikut Akta Kawalan Bekalan 1961.