KUALA LUMPUR – Bagi mengekang penularan COVID-19, Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) melaksanakan langkah ujian air kumbahan pesawat dari China bagi memperkukuhkan pengawasan di pintu masuk antarabangsa (PMA).
Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah berkata sampel air kumbahan akan dihantar ke Makmal Kesihatan Awam Kebangsaan (MKAK) untuk ujian rantai polimerase (PCR).
Kemudian, ia seterusnya dihantar untuk penjujukan genom jika dikesan positif COVID-19.
Menurutnya, KKM mula melaksanakan ujian air kumbahan pesawat dari luar negara terutamanya negara-negara berisiko tinggi sejak Jun 2022.
“Mereka yang dikesan demam atau bergejala atau rujukan kendiri akan dirujuk ke pusat kuarantin atau pihak kesihatan untuk pemeriksaan semula. Jika disyaki COVID-19, ujian COVID-19 akan dijalankan,” katanya.
Beliau berkata demikian menerusi pautan yang dimuat naik dalam laman media sosial rasmi Facebook, semalam.
Dalam pada itu, beliau turut berkata tiada varian baharu COVID-19 dikesan pihaknya di negara ini setakat ini.
“Setakat ini, kebanyakan ujian positif adalah daripada varian Omicron serta subvarian BA5 dan BA2. Semua pengembara yang tiba dari luar negara, termasuk China di PMA akan melalui saringan gejala,” katanya.
Dalam perkembangan lain, media sebelum ini melaporkan China akan membuka semula sempadan pada 8 Januari depan selepas hampir tiga tahun ditutup berikutan pandemik COVID-19.





