JHEKS Perkasa Pergerakan Kesatuan Sekerja

JHEKS Perkasa Pergerakan Kesatuan Sekerja

0
SHARE
Rusdi
Rusdi (duduk, tengah) dan jemputan kehormat merakam gambar kenangan bersama para peserta ( Sumber Foto: Ihsan Jabatan Penerangan Sabah )

KOTA KINABALU, SABAH – Jabatan Hal Ehwal Kesatuan Sekerja Malaysia (JHEKS) giat laksanakan pelbagai program dalam usaha memperkasa pergerakan Kesatuan Sekerja di Malaysia.

Menurut Setiausaha Tetap Kementerian Sains Teknologi dan Inovasi (KSTI) Sabah, Datuk Mohd Hanafiah Mohd Kassim, program-program tersebut menjadi pemangkin kepada pergerakan sekerja menjadi lebih dinamik dan progresif mewujudkan keharmonian perusahaan negara.

“Pelbagai program dilaksanakan oleh JHEKS dalam usaha memperkasakan pergerakan kesatuan sekerja di Malaysia antaranya, melaksanakan 160 Program Outreach Kesatuan Sekerja yang merupakan program promosi dan pendidikan kesatuan sekerja melalui pelaksanaan kursus pengurusan kesatuan sekerja, program kesedaran berkesatuan, program CSR, program promosi keanggotaan dan kolaborasi bersama jabatan dan agensi luar pada 2023 dengan jayanya.

“Kesemua program ini berjaya mendekatkan Kementerian Sumber Manusia dengan pelbagai golongan sasar seterusnya memangkin pergerakan kesatuan sekerja agar lebih dinamik dan progresif bagi mewujudkan keharmonian perusahaan di negara ini.

“Selain itu, peruntukan untuk Program Hal Ehwal Kesatuan Sekerja (PHEKS) juga dinaikkan kepada RM5.8 juta pada tahun ini berbanding RM2.6 juta pada tahun lalu selaras dengan pendirian Kementerian Sumber Manusia untuk berdiri bersama pekerja yang menjadi tonggak kepada ekonomi negara membuktikan dukungan kita kepada kesatuan sekerja.

“Had maksimum permohonan geran untuk kesatuan sekerja juga dianaikkan daripada RM10,000 tahun lalu kepada RM20,000 bagi tujuan memperkasa pengurusan, pemberian geran PHEKS berkenaan adalah tertakluk pada syarat yang ditetapkan dan peluang keemasan ini perlu diambil oleh warga kesatuan sekerja di seluruh negara,” katanya.

Teks beliau dibacakan oleh Timbalan Setiausaha Tetap I, KSTI, Rusdi Belun sempena program Transformasi Tenaga Kerja Melalui Latihan dan Upah Tahun 2024 Peringkat Negeri Sabah di The Klagan Regency, 1Borneo pada Isnin.

Beliau turut menegaskan kerajaan sentiasa peka membantu golongan pekerja dalam hal berkaitan upah atau gaji.

“Kerajaan sentiasa peka dan mengambil berat membantu pekerja dalam golongan pekerjaan asas bagi menjamin pendapatan mereka melalui pelaksanaan Perintah Gaji Minimum (PGM) yang mana sejak tahun 2012 sebanyak lima PGM diperkenalkan dengan kadar gaji RM900 bagi semenanjung Malaysia, RM800 bagi Sabah, Sarawak dan Wilayah Persekutuan Labuan sehingga lah PGM tahun 2022 adalah dengan kadar gaji minimum seragam seluruh negara RM1,500 sebulan, kadar peratusan kenaikan gaji minimum sejak ia mula diperkenalkan sehingga kini adalah 53 peratus bagi Sabah, Sarawak dan Wilayah Persekutuan Labuan manakala 60 peratus bagi Semenanjung Malaysia.

“Justeru, dasar gaji progresif dicadangkan sebagai pelengkap kepada dasar gaji minimum dan sistem upah yang dikaitkan dengan produktiviti dan merupakan satu anjakan dalam RMK-12 ke arah meningkatkan gaji dan mencapai pengagihan dan pendapatan yang lebih seimbang berteraskan produktiviti dengan tujuan memastikan kesaksamaan antara kedua-dua pihak, iaitu majikan dan pekerja melalui konsep timbal balik,” jelas beliau.

Sementara itu, Ketua Pengarah JHEKS, Mohd Asri Abdul Wahap berkata kursus yang kali kedua dianjurkan itu selepas Pulau Pinang memberi peluang kepada penggiat industri membangunkan kemahiran bagi meningkatkan pendapatan.

“Melalui program ini juga penggiat industri akan berkongsi pengalaman berkaitan pelaksanaan gaji dan latihan yang diamalkan dalam organisasi untuk produktiviti pekerja dan majikan.

“Selain itu dapat meningkatkan kefahaman dan pengetahuan peserta tentang hubungan antara peningkatan produktiviti dan pembangunan kemahiran yang berpotensi untuk meningkatkan pendapatan,” katanya lagi.

Turut hadir, Setiausaha Majlis Perundingan Gaji Negara (MPGN), Yusof Harun, Pengerusi Kongres Kesataun Pekerja Dalam Perkhidmatan Awam (CUEPACS) Sabah, Ajulahin Japin, Timbalan Pengerusi Kongres Kesatuan Sekerja Malaysia (MTUC) Sabah, Margrate Chin S.P dan Consultant Malaysian Employers Federation (MEF), Asaraf Sahmun. — JABATAN PENERANGAN SABAH