Ramai Orang Habiskan Masa Tonton Video TikTok Berbanding Youtube

Ramai Orang Habiskan Masa Tonton Video TikTok Berbanding Youtube

0
SHARE

WASHINGTON  – Aplikasi TikTok yang kini menjadi kegemaran penduduk dunia terutamanya di kalangan remaja telah berjaya menewaskan aplikasi Youtube dalam kalangan pengguna peranti Android di Amerika Syarikat.

Menurut United Press International, satu laporan analitik mendedahkan purata tempoh masa tontonan video-video sosial pada TikTok melebihi YouTube yang bermaksud lebih ramai orang menonton video tersebut pada aplikasi Tiktok berbanding Youtube.

Sumber analitik mudah alih, App Annie menunjukkan data aplikasi TikTok itu digunakan hampir 24 jam sebulan oleh pengguna berbanding 22 jam 40 minit untuk menonton kandungan YouTube.

Menurut laporan itu juga, aplikasi TikTok turut menewaskan YouTube di Britaina pada Mei 2020 bagi masa yang paling banyak dihabiskan seorang pengguna iaitu hampir 26 jam sebulan.

Data tersebut bagaimanapun terhad kepada pengguna peranti Android, namun ia menunjukkan kenaikan ketara bagi jumlah penonton meskipun kandungan video yang dimuat naik di platform TikTok terhad kepada tiga minit.

Walau bagaimanapun, YouTube yang dimiliki syarikat gergasi Google masih mempunyai jumlah penonton paling ramai disebabkan pangkalan penggunanya yang lebih besar iaitu sekitar dua bilion. Sebagai perbandingan, TikTok mempunyai 700 juta pengguna.

Menurut App Annie, video pendek, kandungan asli dan penstriman langsung mendorong pertumbuhan TikTok bagi kategori masa yang dihabiskan oleh pengguna.

Bagi menyaingi aplikasi tersebut, Youtube pada awal tahun ini telah memperkenalkan platform video pendek dikenali ‘YouTube Shorts’.