PENAMPANG: Enam lelaki berusia lingkungan 18 hingga 45 tahun ditahan bersama dadah dalam dalam satu Operasi Khas (Ops Khas) oleh Bahagian Siasatan Jenayag Narkotik (BSJN) IPD Penampang di sini, semalam.
Polis Penampang dalam satu kenyataan memaklumkan, kesemua lelaki yang ditahan disyaki terlibat dalam kegiatan dadah di beberapa lokasi di daerah Putatan.
“Hasil pemeriksaan ke atas kesemua suspek, polis telah menjumpai enam paket lutsinar pelbagai saiz berisi ketulan hablur jernih disyaki dadah jenis Methamphetamine (syabu) seberat 7.24 gram yang dianggarkan bernilai RM905.00 dalam simpanan mereka.
“Hasil saringan ujian air kencing mendapati kesemua suspek positif dadah jenis Methamphetamine dan Amphetamine.
“Dua daripada suspek disiasat di bawah Seksyen 39A (1) Akta Dadah Berbahaya 1952, jika sabit kesalahan penjara tidak kurang dua tahun serta sebat tidak kurang dari tiga kali dan Seksyen 15 (1) (a) Akta Dadah Berbahaya 1952, yang membawa hukuman denda tidak lebih RM5,000 atau penjara maksimum dua (2) tahun jika sabit kesalahan,” katanya dalam kenyataan di sini, hari ini.
Manakala empat lagi suspek disiasat dibawah Seksyen 12 (3) Akta Dadah Berbahaya 1952, jika disabit kesalahan denda tidak lebih RM100,000.00 atau penjara tidak lebih lima tahun atau kedua-duanya sekali dan juga disiasat mengikut Seksyen 15 (1) (a) Akta Dadah Berbahaya 1952.
Tambah kenyataan itu, pihak polis juga menyeru kepada orang ramai yang mempunyai maklumat jenayah atau dadah agar boleh berhubung lanjut di Balai Polis yang berhampiran.