LAHAD DATU: Polis Daerah Lahad Datu menahan dua lelaki dalam dua kes berasingan selepas salah seorang daripada mereka didapati memiliki dadah disyaki jenis syabu seberat 5.02 gram, manakala kedua-duanya disahkan positif dadah hasil ujian saringan air kencing pada Sabtu.
Dalam kejadian kira-kira jam 11.30 pagi, sepasukan anggota Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik Daerah (BSJND) Lahad Datu menahan seorang lelaki tempatan berusia 36 tahun di kawasan Batu 1, Jalan Segama, kerana berkelakuan mencurigakan.
Pemeriksaan lanjut menemui dadah disyaki jenis syabu seberat 5.02 gram bersama peralatan berkaitan. Suspek turut didapati positif dadah jenis Amphetamine dan Methamphetamine hasil ujian saringan awal air kencing.
Kes disiasat di bawah Seksyen 39A(1) dan Seksyen 15(1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952 (ADB 1952). Suspek yang mempunyai rekod lampau berkaitan kesalahan dadah kini direman bagi membantu siasatan lanjut.
Dalam satu kes berasingan pada hari yang sama, polis menjalankan ujian saringan air kencing terhadap seorang lelaki berusia 31 tahun yang ditahan berkaitan kes lain. Hasil ujian mendapati individu tersebut positif dadah.
Kes kedua disiasat di bawah Seksyen 15(1)(a) ADB 1952 dan suspek ditahan bagi siasatan lanjut.
Polis menegaskan komitmen berterusan Ketua Polis Daerah Lahad Datu, ACP Dzulbaharin Ismail, bersama seluruh warga IPD Lahad Datu dalam memerangi jenayah dadah demi keselamatan dan kesejahteraan masyarakat.






