KOTA KINABALU: Dua individu dikenakan kompaun oleh Unit Kawal Selia, Jabatan Pengurusan Sisa Pepejal, Dewan Bandaraya Kota Kinabalu (DBKK) dalam Ops Bersih yang dijalankan di sekitar kawasan Lido Square, di sini, sebagai sebahagian usaha berterusan membanteras perbuatan membuang sampah di tempat awam, baru-baru ini.
Ops Bersih merupakan operasi penguatkuasaan Undang-Undang Kecil (UUK) Bandaraya Kota Kinabalu (Anti Sampah Sarap) 1984 Pindaan 2005 yang dilaksanakan setiap hari bertujuan memberi kesedaran kepada masyarakat mengenai kepentingan menjaga kebersihan bandaraya serta mendidik individu supaya lebih bertanggungjawab terhadap persekitaran.
Sasaran operasi ini adalah terhadap individu atau syarikat yang mengotorkan kawasan awam, dengan kesalahan yang kerap dikesan termasuk membuang puntung rokok, tisu, botol minuman dan bekas makanan.
Di bawah peruntukan UUK berkenaan, pesalah boleh dikenakan kompaun serta-merta melalui kaedah ‘Compound On The Spot’ (COS) tidak kurang RM30 dan tidak melebihi RM500 mengikut jenis serta jumlah sampah yang dibuang, atau diberikan ‘Summon On The Spot’ (SOS) untuk hadir ke mahkamah.
Sekiranya disabitkan kesalahan, pesalah boleh didenda tidak melebihi RM10,000 atau dipenjara tidak lebih tiga tahun atau dikenakan Perintah Kehadiran Wajib (PKW) dengan melakukan kerja-kerja masyarakat selama empat jam sehari dalam tempoh tidak melebihi tiga bulan.
DBKK menegaskan Ops Bersih akan diteruskan secara konsisten bagi memastikan masyarakat sentiasa peka dan prihatin terhadap kebersihan bandaraya. Orang awam diingatkan supaya bersama-sama menjaga kebersihan Kota Kinabalu dengan tidak membuang sampah atau mengotorkan persekitaran awam.






