Tuntut Keadilan, Bukan Pembalasan, Tapi Perintah Allah SWT Lindungi Yang Lemah dan...

Tuntut Keadilan, Bukan Pembalasan, Tapi Perintah Allah SWT Lindungi Yang Lemah dan Hukum Yang Bersalah – Istana Seri Kinabalu

0
SHARE

KOTA KINABALU: Tuan Yang Terutama Tun Datuk Seri Musa Aman Yang di-Pertua Negeri Sabah telah mengarahkan pihak berkuasa yang berkaitan untuk menjalankan siasatan menyeluruh dan telus berhubung kematian tragis Allahyarhamah Zara Qairina Mahathir.

Istana Seri Kinabalu dalam satu kenyataan berkata, bedah siasat telah dilakukan semalam dan siasatan kini sedang dijalankan dan menunggu hasil bedah siasat tersebut.

“Siasatan ini mestilah dilaksanakan dengan penuh ketelitian, tanpa rasa takut atau pilih kasih, berlandaskan kepada kebenaran dan keadilan. Setiap aspek mesti disiasat sepenuhnya.

“Menuntut keadilan bukanlah satu bentuk pembalasan. Sebaliknya ianya adalah suatu perintah Allah SWT untuk melindungi yang lemah dan menghukum mereka yang bersalah,” jelas kenyataan itu di sini, hari ini.

Pada masa yang sama, pihak Istana menyeru orang ramai, terutamanya pengguna media sosial, supaya tidak membuat sebarang spekulasi, menyebarkan tuduhan tidak berasas atau
menggalakkan teori konspirasi berhubung kes ini.

Tegas kenyataan itu lagi, tindakan sedemikian bukan sahaja boleh menggugat integriti siasatan malah boleh menyebabkan
kesedihan yang lebih mendalam kepada keluarga Zara yang sedang berduka.

“Pihak Istana juga menyeru agar semua pihak memberi ruang kepada proses undang-undang untuk berjalan dengan adil, serta berdiri seiring dengan keluarga Zara dalam mencari jawapan dan
penyelesaian kes ini.

“Tuan Yang Terutama Tun dan Toh Puan bersama seluruh rakyat di negara ini, merakamkan ucapan takziah dan simpati kepada keluarga Zara. Semoga keluarga Zara diberikan kekuatan dan
ketabahan dalam menghadapi dugaan yang amat berat ini,” jelasnya.

Sementara itu, Majlis Tahlil dan Doa Peringkat Negeri khusus untuk Allahyarhamah Zara akan diadakan pada hari Khamis, 14 Ogos 2025 selepas solat maghrib di Masjid Bandaraya
Kota Kinabalu.

Majlis yang sama akan turut diadakan secara serentak di semua masjid dan surau seluruh negeri pada tarikh berkenaan.

Tuan Yang Terutama Tun menggalakkan umat islam untuk hadir bersama-sama di majlis tersebut dan juga mengalakkan mereka yang bukan beragama islam berdoa untuk Zara mengikut kepercayaan masing-masing.

“Keselamatan dan kebajikan anak-anak kita mestilah sentiasa menjadi keutamaan kita semua,” tambah kenyataan itu.

Tun turut mendoakan semoga Allah SWT menempatkan Allahyarhamah Zara dalam kalangan orang yang beriman dan beramal soleh serta memberikan kekuatan kepada kita untuk melindungi anak masing-masing bagi mengelakkan berulangnya tragedi seperti itu pada masa hadapan.