KOTA KINABALU: Kegiatan penyelewengan minyak diesel bersubsidi di sebuah premis tidak bernombor di Jalan Bunga Raya, Kepayan, berjaya dipatahkan Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) Sabah menerusi serbuan Ops Tiris semalam.
Serbuan kira-kira jam 10.30 pagi itu dilakukan oleh lima pegawai penguat kuasa dari Seksyen Penguat Kuasa KPDN Sabah hasil risikan selama dua minggu serta maklumat yang disalurkan oleh orang awam.
Ketua Pegawai Penguat Kuasa Negeri, Peter J. Berinus Agang berkata, operasi itu membawa kepada penemuan 16,180 liter minyak diesel, sebuah kenderaan pacuan empat roda jenis Toyota Land Cruiser, serta beberapa peralatan yang dipercayai digunakan untuk aktiviti penyelewengan, dengan jumlah rampasan dianggarkan bernilai RM34,650.00.
“Seorang lelaki tempatan berusia lingkungan 20-an yang berada di lokasi turut ditahan bagi membantu siasatan,” katanya dalam kenyataan media hari ini.
Siasatan awal mendapati premis terbabit tidak mempunyai sebarang lesen atau kebenaran sah untuk menyimpan barang kawalan seperti minyak diesel bersubsidi.
Kes kini disiasat di bawah Seksyen 20(1) Akta Kawalan Bekalan 1961, dibaca bersama Peraturan 3(1) Peraturan-Peraturan Kawalan Bekalan 1974, kerana memiliki barang kawalan tanpa kebenaran pengawal.
Peter turut memaklumkan bahawa mana-mana individu yang disabitkan kesalahan boleh dikenakan hukuman denda maksimum RM1 juta atau penjara sehingga tiga tahun, atau kedua-duanya.
Bagi kesalahan berikutnya, hukuman boleh meningkat kepada denda RM3 juta atau penjara lima tahun. Bagi syarikat pula, denda boleh mencecah sehingga RM5 juta bagi kesalahan berulang.
Dalam masa sama, KPDN turut mengingatkan pemilik stesen minyak agar tidak menjual bahan api bersubsidi kepada mana-mana pembeli tanpa kebenaran bertulis daripada pihak berkuasa.
“Tindakan tegas akan dikenakan ke atas mana-mana stesen minyak yang gagal mematuhi arahan pengawal di bawah subperaturan 12A Peraturan-Peraturan Kawalan Bekalan 1974,” tegas beliau.
KPDN Sabah memberi jaminan untuk terus memperhebat operasi dan pemantauan bagi mengelakkan ketirisan subsidi, khususnya melibatkan minyak diesel dan petrol RON95 di seluruh negeri.
Orang ramai diseru menyalurkan sebarang maklumat berkaitan aktiviti penyelewengan barang kawalan bersubsidi melalui saluran rasmi seperti WhatsApp, e-Aduan KPDN, talian hotline 1-800-886-800, aplikasi Ez ADU, atau emel ke e-aduan@kpdn.gov.my.
“Kerjasama rakyat sangat penting dalam memastikan subsidi sampai kepada golongan yang layak dan tidak disalahguna oleh pihak yang tamak,” ujar Peter.






