EU Setuju Perketatkan Sekatan Ke Atas Russia, Belarus

EU Setuju Perketatkan Sekatan Ke Atas Russia, Belarus

0
SHARE

BRUSSELS – Kesatuan Eropah (EU) bersetuju untuk menambah lebih ramai oligarki serta pegawai Russia dalam senarai sekatan hitamnya, mengetatkan peraturan mengenai pemindahan mata wang kripto serta menyasarkan sektor maritim berhubung perang Moscow di Ukraine, kata diplomat itu semalam.

Memetik laporan AFP, Blok 27 negara itu juga memberi kebenaran untuk menyekat TIGA (3) bank Belarus daripada sistem mesej global SWIFT atas sokongan Minsk terhadap serangan Kremlin, kata Duta Perancis, yang memegang jawatan presiden bergilir EU dalam ciapan di Twitter.

EU sedang berusaha untuk menutup kelemahan dalam sekatan yang tidak pernah berlaku sebelum ini, yang dilakukannya bersama sekutu Barat selepas Presiden Russia Vladimir Putin melancarkan pencerobohan itu.

Presiden Russia, Vladimir Putin…

Langkah yang menyasarkan mata wang kripto itu bertujuan menghalang individu dan syarikat yang disenaraihitamkan menggunakan sistem digital itu untuk memintas sekatan EU.

Blok itu juga menambah larangan senarai teknologi yang boleh dieksport ke Russia kerana ia berusaha untuk melemahkan pangkalan perindustrian negara itu.

Butiran penuh sekatan terkini bakal diumumkan tidak lama lagi apabila ia diterbitkan secara rasmi dalam jurnal rasmi EU.

EU juga cuba meningkatkan tekanan ke atas Kremlin dan pegawai dengan mengatakan mereka bersedia untuk mengenakan sekatan lanjut ke atas Moscow jika Russia tidak menamatkan perang.

Bagaimanapun, blok itu setakat ini menolak menyasarkan eksport minyak dan gas utama Russia memandangkan pergantungan negara anggota kepada tenaga daripada jiran gergasi timurnya itu.