PPS Segera Dibuka Malam Ini Bagi Mangsa Kebakaran Di Perkampungan Meruntum

PPS Segera Dibuka Malam Ini Bagi Mangsa Kebakaran Di Perkampungan Meruntum

0
SHARE

PUTATAN, SABAH – Sebuah Pusat Penempatan Sementara (PPS) segera dibuka malam ini bagi menempatkan mangsa kebakaran di perkampungan atas air Kampung Meruntum, Putatan, petang tadi.

Menteri Pembangunan Masyarakat dan Kesejahteraan Rakyat Sabah, Ir Shahelmey Yahya berkata, PPS tersebut ditempatkan di PPR Serigai dengan proses pemindahan mangsa kini dipergiatkan.

Persiapan PPS segera dilakukan untuk menempatkan mangsa kebakaran di dewan PPR Serigai…

“Kita mengaktifkan pusat pemindahan sementara di Dewan Serbaguna PPR Serigai Ketiau yang berdekatan dengan Kampung Meruntum ini, lebih kurang setengah kilometer saja…

“Jadi kita berharap tidak ada kemalangan jiwa yang terlibat, walaupun kalau dilihat buat masa ini jumlah rumah yang terlibat ini begitu banyak sekali dan merupakan satu ujian kita semasa kita meraikan Hari Raya Aidilfitri pada kali ini,” katanya.

Beliau yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Tanjung Keramat berkata demikian ketika ditemui di lokasi kejadian di Kampung Meruntum, malam tadi.

Mengulas lanjut, Shahelmey berkata, pihaknya merakamkan penghargaan kepada semua yang terlibat dalam membantu mangsa kebakaran berkenaan.

“Pusat Kawalan Operasi Bencana (PKOB) Putatan, Polis, Bomba dan RELA serta lain-lain agensi terlibat dalam operasi petang ini,” katanya.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Penampang, Deputi Superintendan Mohd Haris Ibrahim berkata, anggaran awal kediaman yang terlibat kebakaran tersebut adalah mencecah kira-kira 30 buah rumah.

“Operasi memadam daripada pihak bomba masih giat dijalankan dan polis turut membuat kawalan keselamatan untuk mengelak kejadian tidak diingini…

Tiada sebarang kemalangan jiwa dilaporkan berlaku setakat ini,” katanya.

Sementara itu, Pengarah Jabatan Bomba Sabah Mohd Ali Ismail berkata pihaknya menerima panggilan kecemasan pada pukul 5.40 petang.

“Ketiga-tiga anggota berkenaan dilaporkan dalam keadaan stabil dan sedang mendapatkan rawatan di Hospital Queen Elizabeth I dan II…

“Mereka merupakan petugas Balai Bomba Kota Kinabalu,” katanya kepada wartawan.

Beliau dalam Kempen Keselamatan Kebakaran Sempena Musim Perayaan Aidilfitri baru-baru ini mengingatkan masyarakat betapa pentingnya alat pemadam api tersedia di rumah.

Dalam pada itu beliau juga mengulas bahawa kadar penggunaan elektrik yang tinggi sering menjadi punca kebakaran rumah di Sabah.

Operasi melibatkan seramai 33 anggota termasuk Balai Bomba Lintas dan Penampang dengan menggunakan lima jentera.

Difahamkan pihak bomba mengalami kesukaran masuk ke dalam kawasan terbabit disebabkan deretan kereta yang diletak mengahalang jalan.

“Operasi terkawal pada pukul 8 malam tanpa ragutan nyawa. Punca api masih dalam siasatan,” tambah Ali.

Sumber di lokasi mengatakan orang kampung sendiri bergotong royong memadamkan api sebelum ketibaan pihak berkuasa.

Pada masa yang sama Azan juga kedengaran dilaung penduduk bagi menenangkan hati ketika menghadap musibah yang melanda pada musim perayaan ini.