24 PATI Ditahan di Sekitar Kota Kinabalu

24 PATI Ditahan di Sekitar Kota Kinabalu

0
SHARE

KOTA KINABALU: Seramai 24 pendatang asing tanpa izin (PATI) ditahan dalam operasi penguatkuasaan Jabatan Imigresen Malaysia Negeri Sabah di sekitar Kota Kinabalu menerusi pelaksanaan Ops Mahir, Ops Sapu, Ops Selera dan Ops Gegar yang dijalankan pada 15 hingga 16 Januari lalu.

Operasi berkenaan melibatkan seramai 29 pegawai dari Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) Ibu Pejabat Kota Kinabalu yang memeriksa enam premis dengan melibatkan seramai 111 individu terdiri daripada warganegara Malaysia dan warga asing.

Hasil pemeriksaan mendapati 24 PATI ditahan terdiri daripada 10 lelaki dewasa dan 14 perempuan dewasa. Tangkapan melibatkan 15 warganegara Filipina dan sembilan warganegara Indonesia.

Kesemua individu berkenaan dipercayai melakukan kesalahan di bawah Seksyen 6(1)(c), Akta Imigresen 1959/63 kerana gagal mengemukakan dokumen perjalanan dan pas yang sah.

Semua PATI yang ditahan telah dibawa ke Depot Imigresen Papar untuk tindakan lanjut mengikut peruntukan undang-undang sedia ada.

Jabatan Imigresen Malaysia Negeri Sabah menegaskan bahawa operasi penguatkuasaan akan diteruskan secara berfokus bagi membanteras kehadiran pendatang asing tanpa izin serta memastikan pematuhan sepenuhnya terhadap undang-undang imigresen negara.