TAWAU: Seorang suri rumah, Siti Aida Sofyan, 32, melahirkan rasa syukur selepas menerima bantuan Skim Insurans Rakyat Sabah berjumlah RM10,500 susulan pemergian suaminya, Allahyarham Mohd Nasarudin, 30, yang terkorban dalam kemalangan jalan raya pada 30 Oktober tahun lalu.
Perkara itu dikongsikan oleh Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Apas, Datuk Nizam Abu Bakar Titingan menerusi kenyataannya di laman Facebook hari ini.
Nizam yang juga Menteri Pembangunan Belia, Kemajuan Sukan dan Ekonomi Kreatif berkata, bantuan tersebut sedikit sebanyak meringankan beban kewangan keluarga berkenaan, terutama dalam membuat persiapan menjelang kelahiran anak keempat Siti Aida yang dijangka pada 22 Februari ini.
Siti Aida memaklumkan bahawa beliau tidak pernah memiliki sebarang insurans atau membayar premium, namun tetap layak menerima bantuan di bawah Skim Insurans Rakyat Sabah yang disediakan oleh Kerajaan Negeri.
Katanya, bantuan itu amat bermakna dalam membantu menampung keperluan harian serta persediaan sebelum bersalin.
Beliau yang mempunyai tiga orang anak berusia tiga, lima dan lapan tahun turut berkongsi bahawa kehilangan suami memberi kesan besar terhadap kelangsungan hidup keluarganya. Justeru, bantuan yang diterima menjadi sumber kekuatan buat dirinya untuk terus membesarkan anak-anak.
Puan Siti Aida turut merakamkan penghargaan kepada Kerajaan Negeri Sabah di bawah pimpinan Datuk Seri Hajiji Noor serta kepada Datuk Nizam secara peribadi kerana memaklumkan bahawa beliau layak menerima bantuan skim tersebut.
Skim Insurans Rakyat Sabah merupakan antara inisiatif Kerajaan Gabungan Rakyat Sabah (GRS) bagi melindungi rakyat daripada kesan musibah kemalangan, termasuk golongan yang tidak pernah memiliki perlindungan insurans.
Melalui skim ini, perlindungan sehingga RM10,000 disediakan bagi kes kemalangan, manakala RM500 diperuntukkan sebagai khairat kematian.
Inisiatif ini membuktikan komitmen Kerajaan Negeri dalam menjaga kebajikan rakyat, khususnya golongan B40 dan mereka yang ditimpa musibah, selaras dengan matlamat Pelan Pembangunan Sabah Maju Jaya 1.0 yang mengutamakan kesejahteraan rakyat.






