KOTA KINABALU, SABAH – Polis Sabah merampas 9,000 kilogram daging penyu yang dikeringkan bernilai RM4.5 juta dari sebuah kapal nelayan di Kudat pada Rabu lalu (29 Nov).
Pesuruhjaya Polis Sabah Datuk Jauteh Dikun berkata pihaknya percaya sekurang-kurangnya 12,000 ekor penyu dibunuh demi mencapai kuantiti tersebut.
“Empat lelaki di atas kapal itu berjaya melarikan diri dalam insiden 11.15 pagi ketika Polis Marin sedang membuat rondaan di perairan antara Pulau Banggi dan Terumbu Mangsee.
“Apabila dihampiri, lelaki dipercayai warga asing itu melarikan diri ke perairan cetek di mana sebuah bot pam mengambil mereka dan memecut ke perairan antarabangsa menuju ke arah negara jiran,” katanya pada sidang media pada Isnin.
Jauteh berkata anggota Polis tidak dapat mengejar lelaki itu kerana air surut.
Walau bagaimanapun, beliau berkata ia adalah tangkapan terbesar membabitkan penyu tahun ini.
Beliau menjelaskan bahawa daging penyu kering itu disimpan dalam 300 beg guni yang dijual kira-kira RM500 sekilogram di pasaran antarabangsa.
“Turut dirampas ialah dua tan pelbagai cengkerang kerang dan siput laut, 90 kg gamat kering, 150 kg kuda laut kering, 80 kg rumpai laut kering, 0.5 kg perut ikan kering dan sirip ikan yu, 200 kg ikan kerapu kering, 15 kg. kg sarang burung, 400 kg pelbagai ikan,” kata Jauteh.
Kapal pukat tunda yang didaftarkan kepada warga tempatan di Semporna bernilai RM200,000 turut dirampas.
Polis kini sedang menyiasat jika pemiliknya terlibat dalam kegiatan jenayah itu.
Jauteh berkata mereka percaya bukan semua hasil tangkapan itu berasal dari perairan Sabah berdasarkan bagaimana suspek bertindak balas melarikan diri ke perairan antarabangsa.
“Mereka bukan sindiket antarabangsa tetapi kami percaya mereka hanyalah nelayan yang tidak bertanggungjawab menjual kepada kumpulan tertentu.
“Perkara itu sedang disiasat oleh Jabatan Hidupan Liar dan polis akan memberikan bantuan apabila diperlukan,” beliau berkata.






