KULIM, KEDAH – Pengerusi Perikatan Nasional (PN), Tan Sri Muhyiddin Yassin menafikan dan menyifatkan tuduhan dakwaan parti terbabit menerima pembiayaan daripada syarikat judi untuk kempen Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15) hanya fitnah.
Memetik sumber Harian Metro, beliau berkata kenyataan Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim itu tidak disokong dengan bukti yang kukuh.
“Itu fitnah, mana buktinya? Mudah sangat nak lempar tuduhan sebegitu. Kita ada prinsip. Kalau nak terima sokongan pun, kita tak terima dari sumber yang haram(yang dilarang).
“Jadi, saya tidak tahu bagaimana Perdana Menteri membuat dakwaan yang begitu serius hanya kerana kita menang (banyak kerusi)…
“Hanya kerana kita mempunyai banyak bendera atau kita telah menggerakkan jentera kita dengan berkesan dan menewaskannya sehingga UMNO mengalami kekalahan besar di lapan negeri,” katanya.
Beliau berkata demikian dalam sidang media selepas ceramah Grand Finale PN Padang Serai di Taman Selasih di sini, malam tadi.
Mengulas lanjut, Muhyiddin yang juga presiden BERSATU itu menafikan dakwaan bahawa PN berbelanja secara berlebihan untuk kempen berikutan gabungan terbabit baru wujud dua tahun manakala BERSATU ditubuhkan pada lima tahun lalu.
“BERSATU hanya wujud lima tahun dan PN wujud selama dua tahun. Bandingkan dengan PKR yang sudah berpuluh tahun lamanya.
“Saya tidak mahu tuduh dia (Anwar) apa-apa, malah mereka menerima dana politik. Saya rasa ia satu tuduhan yang sangat serius. Kita akan lihat apa yang patut kita lakukan,” katanya.
Dalam perkembangan lain, Anwar dilaporkan membayangkan sebahagian dana pilihan raya PN datang daripada syarikat perjudian yang terlibat dengan cabutan khas.
Bercakap ketika sidang media di Pejabat Perdana Menteri di Putrajaya, Anwar menyatakan dana pilihan raya untuk parti “Melayu” dan parti “Islam” datang dari syarikat perjudian.
Muhyiddin turut menafikan dakwaan berhubung penyelewengan dana RM600 bilion ketika beliau menjadi Perdana Menteri.
Katanya, beliau terperanjat dengan tuduhan Anwar yang didakwanya tidak berasas.
“Sebagai Perdana Menteri, anda mesti bertanggungjawab sepenuhnya terhadap apa yang anda katakan. Ia mesti berdasarkan fakta, ia mesti berdasarkan bukti, ia tidak sepatutnya berdasarkan khabar angin,” katanya.