Golongan Profesional Barisi Senarai ADUN Dilantik Termasuk Bekas Presiden SLS, Peguam dan...

Golongan Profesional Barisi Senarai ADUN Dilantik Termasuk Bekas Presiden SLS, Peguam dan Jurutera

0
SHARE

KOTA KINABALU: Senarai Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Dilantik yang diumumkan semalam menampilkan barisan tokoh profesional, termasuk bekas Presiden Sabah Law Society (SLS), Datuk Roger Chin Ken Fong.

Turut menyertai senarai tersebut ialah tiga lagi figura profesional, melibatkan dua peguam iaitu Datuk Mohamed Razali Razi dan Datuk Ceasar Mandela Malakun, manakala Datuk Ir Chin Shu Ying mewakili golongan jurutera.

Dua lagi ADUN Dilantik ialah Datuk Kasim Razali daripada Parti Gabungan Rakyat Sabah (GRS) serta Ketua Cabang PKR Kota Kinabalu, Grace Lee Li Mei.

Pelantikan kesemua ADUN berkenaan telah disempurnakan oleh Tuan Yang Terutama (TYT) Yang di-Pertua Negeri Sabah, Tun Musa Aman dalam satu upacara di Istana Seri Kinabalu pada Selasa.

Sementara itu, daripada 17 jawatan pembantu menteri yang turut diumumkan, empat disandang oleh ADUN Bebas, iaitu Datuk Fairuz Renddan (Pintasan), Datuk Rina Jainal (Kukusan), Datuk Maijol Mahap (Bandau) dan Jordan Jude Ellron (Tulid).

Seorang lagi yang dilantik ialah ADUN STAR, Datuk Mohd Ishak Ayub (Bingkor), meskipun parti tersebut mengekalkan pendirian untuk tidak menyertai kerajaan pimpinan GRS.

Pembantu menteri lain yang tersenarai termasuk Datuk Joniston Bangkuai (Kiulu), Datuk Seri Dr Ruddy Awah (Pitas), Datuk Isnin Aliasnih (Klias), Datuk Samad Jambri @ Jamri (Labuk), Datuk Limus Jury (Kuala Penyu), Datuk Ruslan Muharam (Lumadan) dan Datuk Hendrus Anding (Tandek).

Turut dilantik ialah Datuk Jonnybone J. Kurum (Telupid), Datuk Juil Nuatim (Limbahau), Datuk Ben Chong Chen Bin (Tanjung Kapor) serta Dr Andi Md Shamsureezal Mohd Sainal (Tanjung Batu).