KOTA KINABALU: Barisan Nasional (BN) Sabah menegaskan penglibatan mereka dalam pentadbiran negeri selepas PRU DUN Sabah bukanlah bermaksud parti itu bergabung atau bekerjasama secara politik dengan mana-mana gabungan termasuk GRS, sebaliknya ia adalah bentuk tanggungjawab bersama demi memastikan negeri terus terurus dan stabil.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sukau, Jafry Ariffin berkata, BN Sabah menerima keputusan rakyat dengan hati terbuka dan akur bahawa parti itu tidak memiliki kuasa untuk membentuk kerajaan negeri secara sendirian.
“Dalam sistem demokrasi, suara rakyat adalah mandat tertinggi. BN Sabah bersedia memainkan peranan sebagai pembangkang yang bertanggungjawab, menjadi suara semak dan imbang demi memastikan pentadbiran negeri berjalan dengan baik,” katanya dalam kenyataan di sini, semalam.
Menurut Jafry, keadaan politik yang tidak memberikan majoriti jelas kepada mana-mana parti menuntut semua pihak mencari jalan tengah demi kelangsungan pentadbiran dan perkhidmatan kepada rakyat.
“Kerjasama yang berlaku bukan bermakna BN bergabung dengan GRS atau mana-mana parti lain. Ia soal kelangsungan negeri, bukan soal kuasa,” tegas beliau.
Jafry berkata, BN Sabah memilih untuk menjadi sebahagian daripada solusi dan bukannya punca permasalahan, sambil menegaskan parti itu akan terus bersuara lantang, terus bekerja dan terus dekat dengan rakyat, walau di mana posisi ia ditempatkan dalam struktur politik negeri.
“Kasih dan tanggungjawab kepada rakyat tidak pernah berubah, walaupun keadaan politik berubah,” katanya.
Beliau turut berdoa agar Sabah sentiasa terpelihara dan kekal berada dalam landasan kestabilan serta pembangunan demi kepentingan bersama seluruh rakyat negeri ini.






