Bekas Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad telah menyindir “kejayaan yang mengagumkan” pengganti beliau, Datuk Seri Najib Razak, pada satu catatan di Facebook baru-baru ini.
Sebenarnya, Mahathir menyorot bagaimana Najib berjaya berpura-pura bodoh dan cuba memutar belit isu berkait penerimaan RM2.6 juta dari Ultra Kirana Sdn Bhd (UKSB)…
Beliau berkata, Najib cuba untuk menyamakan isu itu dengan penerimaan RM2.6 billion ke dalam akaunnya yang didakwa diberikan oleh Raja Arab yang mana sehingga hari ini tidak wujud atau tampil membuktikan kenyataan terhadap Najib.
“Selain itu, dua mahkamah dan empat hakim telah dapati dia bersalah ke atas tujuh tuduhan pecah amanah, salah guna kedudukan dan pengubahan wang haram dana RM42 juta milik SRC, sebuah anak syarikat 1MDB.
“Najib juga sedang dibicara di dalam mahkamah berkaitan kes 1MDB di atas empat pertuduhan menggunakan kedudukannya untuk peroleh suapan berjumlah RM2.3 billion dalam dana 1MDB dan 21 pertuduhan pengubahan wang haram berjumlah RM2.3 billion tersebut,” katanya.
Mahathir berkata kesemua aliran wang tersebut terbukti dengan “paper trail” dan “digital footprint” dan kesemuanya terkait dengan Najib.
“Ini berbeza keadaan dengan kenyataan David Tan dari UKSB di dalam mahkamah iaitu duit itu diberi melalui anak saudara saya Tan Sri Rahmat dan bukannya kepada saya…
“Tidak ada bukti duit masuk akaun saya atau saya terima duit itu atau David Tan melihat duit itu diserah pada saya.
“Yang ada hanyalah kenyataan David Tan yang bersandar pula kepada ledgernya digelar Buku 555,” tegas Mahathir.
Presiden Parti Pejuang itu berkata Tan Sri Rahmat telah pun mengeluarkan kenyataan yang menafikan penyerahan apa-apa duit kepadanya.
“Tan Sri Rahmat juga terangkan dia ada terima wang RM1.3 juta tetapi ini adalah imbuhan untuk jawatan sebagai pengerusi dan penasihat UKSB…
“Dia telah letak jawatan di UKSB tidak lama kemudian dan serah kembali wang RM1.3 juta.
“Tan Sri Rahmat juga ada surat dan dokumen berkait dengan apa yang dinyatakannya.
“Memang pun saya tidak pernah terima duit tersebut,” katanya sambil menambah ia sesuatu yang amat mudah untuk difahami dan Najib memang faham perkara itu.
“Dia berpura-pura tidak faham kerana dengan itu dia dapat terus bohong dan tipu untuk tutup kesalahannya menyamun wang rakyat…